PRN Sarawak: DAP Sarawak bimbang kekalahan PH di Melaka berulang - Utusan Malaysia

PRN Sarawak: DAP Sarawak bimbang kekalahan PH di Melaka berulang

CHONG CHIEN JEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: DAP Sarawak mengakui bimbang kekalahan Pakatan Harapan (PH) menyorot Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka baru-baru ini berulang di Sarawak.

Hal itu terutama untuk kerusi-kerusi jajahan DAP dikhuatiri semakin mengecil sekaligus menyebabkan usaha pembangkang mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan negeri daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) sukar tercapai.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chien Jen bagaimanapun berkata, partinya akan bertungkus-kumus dan bekerja keras untuk memenangi kerusi-kerusi DUN yang akan dipertandingkan pada 18 Disember ini.

“Ini memang satu kebimbangan kami oleh kerana pengundi-pengundi di luar negeri tidak mampu pulang mengundi dan juga pengundi tempatan yang mungkin ketakutan akibat jangkitan Covid-19. Ini juga mungkin menjadi satu strategi Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk kurangkan kadar mengundi dan peluang kami untuk menang.

“Walaupun dalam keadaan ini, apa yang harus kita buat ialah menggalakkan orang ramai mematuhi SOP (prosedur operasi standard) keluar untuk mengundi,” katanya ketika ditemui semalam di ibu pejabat DAP, di sini semalam.

PRN-11 Sarawak pada 2016 menyaksikan DAP menang di tujuh daripada 31 kerusi DUN ditandingi namun sebelum pembubaran DUN, DAP hanya mempunyai lima kerusi iaitu Kota Sentosa, Bukit Assek, Pelawan, Pending dan Tanjung Baru.

DAP hilang dua kerusi iaitu Padungan (Wong King Wei) dan Pujut (Datuk Ting Tiong Choon) susulan penyandangnya masing-masing keluar parti dan berdepan isu dua kewarganegaraan, tahun lalu.

Untuk rekod di Melaka, DAP gagal mempertahankan empat daripada lapan kerusi ditandingi pada PRN baru-baru ini iaitu Gadek, Bemban, Machap Jaya dan Duyong dan hanya menang di kerusi sedia ada iaitu Kota Laksamana, Kesidang, Bandar Hilir dan Ayer Keroh.

Mengulas lanjut, ditanya mengenai keyakinan DAP untuk menang pada pilihan raya negeri sekaligus mengembalikan zaman kegemilangan pembangkang pada 2018, Chien Jen yang juga Pengerusi PH enggan mengulas hal itu.

“Saya tak mahu membuat anggaranlah, kita akan bertungkus lumus untuk menang.

“Kami (rakan komponen PH) telah mencapai kata sepakat tentang agihan kerusi di mana kita tak lawan bertanding dengan antara satu sama lain. Oleh itu, diharap sinergi yang diwujudkan dengan kerjasama antara ketiga tiga parti akan menambahkan peluang kami untuk berjaya menang kerusi,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN