NAMANYA mekar di laman seni empat dekad lamanya. Bukan sesuatu yang mustahil namun percayalah, tidak semua mampu menggapainya. Kekal dalam limpahan populariti untuk setahun dua itu mungkin sudah cukup bagi segelintir anak seni.
Berada dalam ruang seni yang perlu persaingan, cabaran dan onak durinya, pemilik suara emas, Rohana Jalil tidak tergugat. Utuh berdiri berpaksikan rasa cinta dan sayangnya terhadap muzik.
Usah ditanya apa rahsia keberadaannya dalam industri seni suara. Saya fikir, dia juga sudah muak mengulang jawapan. Namun ada kata-katanya yang benar-benar mengunci telinga saya untuk terus mendengar.
“40 tahun dik, lama juga ya kakak bertahan. Tetapi kalau tanya rahsia, entahlah. Mungkin kerana nama kakak sentiasa ada. Orang masih nak panggil buat persembahan. Orang masih ingat.
“Kalau nak fikir pengalaman pahit, macam-macam kakak lalui. Sampai tak larat nak fikir tau. Cuma kita teruskan, kerana cinta dan sayang kepada seni. Kakak bukan artis yang ada deretan trofi pun.
“Cuma apa yang kakak ada adalah cinta, memori manis dan peminat yang sentiasa menyokong setiap langkah dalam industri. Kita pun tahu kan, dunia seni ini tidaklah ‘manis-manis’ semuanya,” selorohnya.
Senang berbual dengan wanita besi berusia 66 tahun ini. Mula menabur benih cinta di laman seni sejak 1979, dia kekal berjiwa hamba. Tidak ada nada atau riak sorang diva, walaupun dia selayaknya berdiri atas gelaran itu.
Tetapi hati saya bergejolak, mahu bertanya mengapa dia memilih untuk bertahan? Apatah lagi, dengan 1,001 ragam pernah ditempuhi, kenapa tidak bersara sahaja? Mengapa dia masih lagi seorang Rohana Jalil?
“40 tahun dik, tak pernah kakak rasa hendak berhenti menyanyi. Kalau rasa penat itu ada. Cuma ragam manusia ada hitam putihnya. Orang khianat, dengki, itu lumrah bukan?” jelasnya.
Lagu baharu? Tidak.
Satu soalan yang sering diajukan kepada penyanyi evergreen seperti Rohana Jalil, bila mahu keluar single baharu? Apatah lagi, pada pengiraan peminat, untuk memancing minat anak muda, seseorang penyanyi harus ada lagu baharu.
Namun bagi Rohana, tidak ada keperluan untuk dia mengeluarkan single baharu,. Cukuplah dengan barisan lagu-lagu sedia ada yang akan dipegang sehingga ke akhir usia seninya.
“Kalau kita pergi persembahan pun, penganjur tak mahu lagu-lagu baharu. Mereka tetap mahu kita nyanyikan lagu-lagu popular dahulu kala. Kakak rasa tidaklah kot untuk single baharu.
“Industri seni muzik kita pun berkembang pesat. Ramai artis-artis baharu. Sekarang mahu jadi artis tidak sesukar dahulu. Kakak dulu kena masuk pertandingan, turun naik studio, dimarah, dimaki semua.
“Sekarang nyanyi di Youtube, Instagram pun sudah boleh digelar penyanyi. Zaman sudah berubah, saya seronok tengok anak-anak muda bersaing secara sihat,” katanya.
Menjalani kehidupan sederhana, bagi Rohana dia gembira dengan apa yang dimiliki. Namun ada nasihat yang dititipkan buat bakat muda yang baru hendak mencuba nasib.
“Sentiasa merendah diri dan pegang niat untuk masuk dunia seni. Jangan mudah dilambung ombak populariti. Bersederhana dalam setiap langkah, InsyaAllah nama akan kekal lama.
“Saya juga menitipkan pesanan sama kepada Kilafairy. Anak muda ini jiwanya berbeza. Kita kena cuba faham dan bantu sedayanya. Hargai peluang yang diberi dan percaya, rezeki akan datang tepat waktunya,” ujarnya.
Tiba masa saya berundur..
Mengimbas perjalanan seni ibu kepada pelakon dan penyanyi, Kilafairy ini, dia memulakan langkah dengan menjuarai Bintang RTM pada tahun 1981. Bermula dari situ, namanya meniti tangga populariti.
Lagu Rayuanku, Jangan Main Mata dan Naluri Cinta antara karya malar segar yang menjadi pilihan peminat sehingga kini. Tidak hairan Rohana tidak putus menerima undangan persembahan.
Perlahan saya mengutarakan soalan, adakah satu ketika nanti dia akan melabuhkan sauh bahtera seninya? Meninggalkan dunia seni yang dicintai, menjalani kehidupan dengan kenangan yang ada.
“Ya, tiba satu masa nanti, kakak akan berundur dan bersara. Membawa kenangan pahit manis sepanjang bergelar anak seni. Bila? Itu kakak belum tahu. Kakak serahkan urusan itu kepada Yang Maha Esa.
“Apa lagi kakak nak kejar dik dalam dunia seni ini? Kita dah lalui semua. Popular ini dik, hanya atas pentas sahaja. Balik rumah, kakak adalah seorang isteri, ibu dan insan biasa. Yang mahu hidup sederhana,” katanya.
Lantas saya luncurkan soalan, tidakkah dia berkecil hati 40 tahun dalam dunia seni tanpa penghargaan trofi atau anugerah? Malah, tiadakah rasa teringin untuk menggalas gelaran Datuk?
Seraya tergelak, anak kelahiran Johor ini lantas menjawab;” Ada apa dengan gelaran, anugerah semua dik? Bukan rezeki kakak, tak apalah. Bukan itu yang kakak mahu. Tak kecil hati pun.”
“Cukuplah bagi kakak, peminat menghargai lagu-lagu dan karya seni yang kakak dendangkan. Itu sudah cukup bermakna. Orang nak panggil buat show lagi pun kita kena bersyukur tau,” katanya.