GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang merekodkan kutipan bayaran saman hampir RM5 juta sejak pelaksanaan tawaran diskaun 80 peratus saman trafik sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia bermula Khamis lalu hingga semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Pulau Pinang, Superintenden Zafri Zokapli berkata, keadaan di kaunter pembayaran saman pada masa ini juga terkawal serta tidak sesak dengan orang ramai seperti sebelumnya.
“Sepanjang 9 hingga 12 Disember lalu, hampir RM5 juta kutipan kompaun telah dikutip di Pulau Pinang.
“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya mengambil peluang menjelaskan saman mereka pada masa diskaun 80 peratus sehingga 31 Disember ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, tempoh tawaran diskaun pembayaran saman yang dijadual berakhir semalam telah dilanjutkan sehingga 31 Disember ini.
Katanya, hal ini kerana PDRM menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai terhadap tawaran diskaun saman berkenaan.
Menurut Zafri, bagi mengelakkan kesesakan di kaunter trafik orang ramai boleh menjelaskan saman melalui portal dan aplikasi mudah alih antaranya my bayar saman, ATM Maybank, Pejabat Pos Malaysia.
“Semasa proses pembayaran saman orang ramai dinasihatkan supaya mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengelakkan jangkitan Covid-19,” katanya.
Dalam pada itu, seorang pengguna, Hashim Yahya, 51, berkata, dia lega apabila kaunter bayaran saman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini tidak lagi sesak seperti dua hari lepas.
“Saya cuba datang membayar saman pada Sabtu dan Ahad lalu, namun tidak mampu menunggu giliran beratur kerana terlalu ramai orang.
“Hari ini saya cuba lagi nasib datang ke sini, nasib menyebelahi saya kerana orang tidak lagi ramai seperti sebelum ini,” katanya.