PM kesal dakwaan penceramah bebas - Utusan Malaysia

PM kesal dakwaan penceramah bebas

ISMAIL Sabri Yaakob ketika berucap merasmikan Mesyuarat Koperasi Pekebun Kecil Daerah Bera di Dewan Masjid Nurulsalam Kampung Batu Papan di Bera, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kesal dan tidak faham bagaimana seorang penceramah bebas membuat tuduhan melulu dengan mendakwa ayam beku yang diimport dari Thailand dan China ke negara ini tidak halal.

Perdana Menteri berkata, tuduhan itu tidak benar memandangkan aspek halal dan kebersihan produk makanan yang dibawa masuk ke Malaysia sentiasa diberi keutamaan oleh kerajaan.

“Saya pun tidak faham ada penceramah agama membuat cerita bukan-bukan tanpa usul periksa kononnya ayam dari Thailand dan China tidak halal.

“Jadi kalau diimport dari China atau Thailand sekalipun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan siasat bukan sahaja sembelihan tetapi kebersihan yang menjadi syarat utama,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agong Koperasi Pekebun Kecil Daerah Bera di Dewan Masjid Nurulsallam Kampung Batu Papan di sini hari ini.

Baru-baru ini, tular di media sosial video seorang penceramah bebas mendakwa loji-loji ayam Thailand dan China yang mengeksport produk ayam ke Malaysia telah tamat tempoh dan tidak halal.

Ismail Sabri berkata, setiap produk makanan termasuk ayam dan daging yang diimport daripada negara luar akan dipastikan benar-benar halal dan bersih sebelum dikeluarkan pengesahan sijil halal untuk pasaran negara ini.

Katanya, Jakim dan Jabatan Veterinar akan melakukan siasatan yang terperinci di pusat sembelihan serta tempat pemprosesan sebelum siji halal dikeluarkan untuk dieksport ke negara ini.

“Contohnya untuk import daging lembu yang murah saya pernah cuba membawa masuk dari Sudan tetapi bila Jakim dan Veterinar dapati kilang tidak bersih akhirnya kilang tersebut tidak dibenarkan sampai sekarang walaupun ia negara Islam yang memang halal sembelihan.

“Sekarang ini halal bukan setakat sembelihan, bukan sahaja sijil kilang bersih tetapi pengangkutan kena halal, sampai tahap pengangkutan maknanya tidak ada barang lain tak halal,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN