PKR tambah calon, kini bertanding 28 kerusi - Utusan Malaysia

PKR tambah calon, kini bertanding 28 kerusi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: PKR menambah seorang lagi calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak iaitu Hapeni Fadil yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simunjan, menjadikan 28 kerusi yang akan ditandingi PKR setakat ini.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertambahan kerusi itu adalah berdasarkan permintaan penduduk kawasan tersebut.

“Ada tambahan iaitu DUN Simunjan berdasarkan atas permintaan orang tempatan dan badan bukan kerajaan yang lain. Mereka minta supaya Hapeni Fadil menjadi calon kawasan itu. Itu sahaja yang ditambah setakat ini. Memang ramai nak bertanding,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat PKR Sarawak malam tadi.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, PKR hanya akan meletakkan calon di kawasan yang mempunyai jentera dan kekuatan parti.

“Kita kena fokus kepada kawasan yang mempunyai jentera dan kekuatan. Apakah ini bermakna kita beri laluan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS)? Tidak. Kita tak mahu cuba bolot dalam keadaan kawasan yang kita tak punyai cukup kekuatan,” katanya.

Semalam, Pengarah Pilihan Raya PKR Sarawak, Dominique Ng mengumumkan senarai 27 calon yang akan bertanding pada PRN Sarawak kali ini, berbanding 47 kerusi DUN.

Namun, beliau mengakui akan ada penambahan calon pada saat-saat akhir sebelum hari penamaan calon pada 6 Disember ini.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN