ARAU: Sudahlah terbeban dengan masalah kenaikan harga input pertanian, kira-kira 30 pesawah dari beberapa kawasan di sini terus diuji apabila terpaksa menanggung kerugian setiap musim ekoran masalah air di sawah yang bertakung, sekali gus merosakkan padi.
Para pesawah di kawasan seluas 20 hektar di Kampung Telaga Haji Latiff dan Kampung Pida Dua Sekerat, Kampung Changkat Jawi itu terpaksa menanggung kerugian lebih RM100,000 khususnya pada musim kedua tanaman antara September sehingga Februari ini.
Isu berkenaan berpunca daripada masalah tali air di kawasan Telaga Haji Latiff, Behor Mempelam dan Pida Dua Sekerat yang terbiar dan didakwa tidak pernah diselenggara sejak lapan tahun lalu menyebabkan air tersekat.
Kesannya, air di sawah tidak boleh mengalir keluar seterusnya bertakung dan keadaan bertambah buruk apabila hujan lebat menyebabkan kawasan sawah tenggelam.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pesawah dari Behor Mempelam, Abdul Samad Deni,51, berkata, ekoran masalah yang berlarutan sejak sekian lama itu, air di kawasan sawah seluas 2.5 hektar miliknya bertakung dan tidak boleh mengalir keluar seterusnya menyebabkan padi menjadi masam dan rosak.
Katanya, sejak memulakan tanaman musim kedua pada akhir Oktober lalu, dia sudah tiga kali terpaksa menabur benih baharu yang menyebabkannya mengalami kerugian.
Ujarnya, dia juga terpaksa menggunakan pam bagi mengeluarkan air dan kadangkala mengambil masa sehingga 17 hari.
“Masalah tersebut berlarutan setiap musim berpunca daripada masalah tali air terbiar berkenaan. Dapat dilihat rumput memenuhi di kawasan tali air terbabit selain selut yang tidak pernah dicuci menyebabkan air tersekat.
“Lazimnya jika tidak berdepan masalah tersebut, saya mampu memperoleh hasil antara RM17,000 hingga RM18,000 semusim. Namun, akibat masalah itu saya hanya mampu menjana pendapatan sekitar RM6,000 hingga RM7,000. Jika ditolak modal, kadangkala untung pun tidak dapat.
“Masalah ini, sudah beberapa kali dipanjangkan kepada pihak bertanggungjawab, namun alasan diberikan ialah tidak ada peruntukan bagi menyelenggara atau membersihkan kawasan tali air berkenaan. Jika tidak dibersihkan, masalah berkenaan akan terus berlarutan,” katanya yang mengusahakan tanaman padi sejak lebih 25 tahun lalu.
Rakannya, Mohd. Yusof Musa, 35, pula berkata, pada masa ini, iaitu sejak hampir tiga bulan lalu, air yang bertakung di sawah seluas dua hektar miliknya masih berada pada paras lutut sekali gus menyebabkan tanaman berdepan risiko rosak.
“Ekoran masalah ini, terpaksalah kami tabur lain benih padi dengan kerugian setakat ini, sudah melebihi RM2,000. Masalah ini juga menjejaskan jadual penanaman kami yang sepatutnya Februari ini sudah boleh boleh tuai namun terpaksa menunggu sehingga April. Apabila April terpaksa pula berdepan musim kemarau.
“Aduan juga pernah dibuat kepada pihak bertanggungjawab di sini namun alasan yang diterima adalah tidak ada peruntukkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE