Permohonan Najib masukkan bukti baharu didengar 7 Dis. - Utusan Malaysia

Permohonan Najib masukkan bukti baharu didengar 7 Dis.

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu dalam rayuannya berhubung kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. sebanyak RM42 juta akan didengar Selasa ini.

Semakan di sistem kehakiman hari ini menunjukkan permohonan yang difailkan semalam akan didengar pada pukul 9 pagi di Mahkamah Rayuan 1, Putrajaya.

Pendengaran itu juga dibuat sehari sebelum keputusan rayuannya terhadap sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tujuh tuduhan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan diumumkan.

Semalam, Najib melalui firma guaman yang mewakilinya, Tetuan Shafee & Co. memfailkan permohonan untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu.

Antaranya membabitkan penglibatan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang dikatakan bersekongkol dengan Jho Low atau Low Taek Jho bagi memudahkan ahli perniagaan dalam buruan itu untuk menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya SRC International.

Najib dalan afidavit sokongannya menyatakan, beliau memfailkan notis usul itu selepas mendapati keterangan-keterangan berkaitan penglibatan Zeti dan ahli keluarganya tidak dimaklumkan atau didedahkan kepada pasukan pembelaannya sebelum atau sepanjang perbicaraannya.

Jelasnya, beliau hanya mengetahui mengenai perkara tersebut selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengeluarkan kenyataan bahawa Singapura telah memulangkan AS$15.4 juta yang berkaitan akaun Cutting-Edge Industries Ltd. yang mempunyai kaitan dengan suami Zeti, Tawfiq Ayman.

Najib turut memohon mahkamah mendapatkan keterangan lisan viva (viva voce) daripada bekas Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki; pegawai penyiasat SPRM, Rosli Hussein dan keterangan saksi lain atau apa-apa keterangan tambahan lanjut berkaitan dengan dakwaan penglibatan Zeti dan keluarganya.

Rosli merupakan saksi pendakwaan ke-57 dalam perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International itu manakala Azam tidak pernah dipanggil memberi keterangan sama ada sebagai saksi pendakwaan mahupun pembelaan.

Sementara itu, peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam sidang akhbar semalam menyatakan permohonan untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu itu masih belum terlambat kerana Mahkamah Rayuan masih belum membuat sebarang keputusan.

Sekiranya notis usul itu diterima, maka keputusan Mahkamah Rayuan atas sabitan salah dan hukuman penjara serta denda yang dijadualkan dibuat Rabu depan (8 Disember) perlu ditangguhkan.

Pada 23 November lalu, Najib memohon agar tarikh keputusan itu ditukar ke tarikh lain kerana Ahli Parlimen Pekan itu sedang menjalani kuarantin kendiri selepas pulang dari Singapura.

Permohonan tersebut bagaimanapun ditolak oleh Mahkamah Rayuan keesokan harinya dan mahkamah terbabit telah mengarahkan agar pihak-pihak hadir pada tarikh yang telah ditetapkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya