ISKANDAR PUTERI: Cadangan pembukaan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) bagi sektor laut membabitkan perjalanan dua hala di perairan Johor ke Singapura dibincangkan Januari ini.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, inisiatif itu dipertimbang susulan kejayaan VTL darat ke Terminal Larkin Sentral dan VTL udara ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sejak 29 November lalu.
Beliau berkata, VTL laut itu kelak dicadang melibatkan perjalanan dua hala dari Desaru Coast Ferry Terminal (DCFT) di Kota Tinggi ke Tanah Merah Ferry Terminal di Singapura.
Tambahnya, ini susulan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengemukakan cadangan pembukaan VTL laut melibatkan Malaysia-Singapura dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, baru-baru ini.
“Hsien Loong beri reaksi perkara itu boleh dipertimbang. Perkara ini masih di peringkat perbincangan melibatkan Malaysia-Singapore Joint Ministerial Committee (JMC) antara kedua-dua negara, melalui JMC yang dipersetujui kedua-dua negara akan diadakan perbincangan segera berkenaan pembukaan VTL laut.
“Mesyuarat JMC akan diadakan awal Januari ini. Mungkin satu jawatan kuasa bersama (dapat ditubuhkan) membincangkan pembukaan VTL laut ini,” katanya selepas melancarkan Program Perintis Iskandar di Kompleks Sukan Educity di sini, hari ini. – UTUSAN ONLINE