KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen pembangkang hari ini mempersoal tindakan kerajaan yang belum memutuskan lagi kebenaran perarakan perayaan, namun dalam masa yang sama membenarkan program Hari Keluarga Malaysia meskipun melanggar prosedur operasi standard (SOP).
Perkara itu dibangkitkan RSN Rayer (PH-Jelutong) dengan menjelaskan ia adalah suatu yang tidak adil, malah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat mengenai SOP yang dijalankan.
“Kita lihat baru-baru ini wakil MIC telah membuat kenyataan bahawa perkara ini masih dalam rundingan dengan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, mengatakan bahawa belum lagi ada apa-apa keputusan muktamad tetapi besar kemungkinan perarakan semasa Thaipusam iaitu akan dibenarkan.
“Jadi, saya berdiri di sini untuk bertanya kalau boleh menteri berkenaan hadir kembali ke dewan yang mulia ini disebabkan sekarang ada banyak kekeliruan dan kedua-dua perayaan ini saya berdiri di sini sebagai wakil rakyat, sebab perayaan ini akan diadakan dalam masa sebulan dua. Jadi adalah tidak adil jika tiada satu keputusan muktamad.
“Kalaulah kerajaan mendukung konsep Keluarga Malaysia, baru-baru ini juga diadakan anjuran Hari Keluarga Malaysia yang tidak mematuhi SOP juga dibenarkan walaupun dikenakan kompaun, adalah tidak adil jika kerajaan melarang perarakan chingay dan kavadi, ” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Kenyataan itu turut disokong M. Karupaiya (PH-Padang Serai) dengan menjelaskan perkara itu perlu dimaklumkan awal sebagai persediaan kerana masyarakat beragama Hindu perlu berpuasa selama 40 hari sebelum perarakan dibuat.
“Perayaan kavadi ini bukan jenis tangkap basah,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, sambutan Thaipusam pada tahun ini tidak dibenarkan dan semua penganut Hindu digalakkan melakukan upacara keagamaan di rumah masing-masing.
Ia berikutan negara kini berhadapan jangkitan varian baharu Covid-19 iaitu Omicron.