PUTRAJAYA: Penganjur majlis 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang berlangsung dari 9 hingga 12 Disember di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dikenakan kompaun RM1,000 oleh Kementerian Kesihatan bagi kesalahan gagal memastikan penjarakan fizikal dan menyebabkan berlakunya kesesakan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, program anjuran Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU), Jabatan Perdana Menteri itu dikenakan kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Akta 342).
Katanya, susulan itu, kaunter diskaun pembayaran saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang disediakan di KLCC akan ditutup serta-merta bermula petang ini.
“Maklumat lanjut mengenai kaedah pembayaran saman dan tawaran diskaun akan dimaklumkan oleh pihak PDRM.
“Kementerian Kesihatan akan terus memantau perjalanan program ini dan tidak akan teragak-agak mengeluarkan lagi kompaun kepada pihak penganjur sekiranya gagal memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP),” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, penganjuran majlis yang sepatutnya mempamerkan pencapaian 100 hari kerajaan serta semua kementerian dan agensi terlibat telah dicemari dengan kegagalan penganjur memastikan kepatuhan kepada SOP dan kegagalan pengunjung untuk mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Penganjuran majlis rasmi kerajaan seumpama ini sepatutnya memberikan contoh terbaik dan teladan serta penanda aras kepada agensi-agensi lain termasuk bukan kerajaan serta orang ramai, bukan sahaja dari aspek pelaksanaan program, tetapi juga aspek pematuhan SOP dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.
“Kejadian yang berlaku amat dikesali dan mengecewakan apabila pihak penganjur sebelum ini telah menyatakan komitmen untuk memastikan program tersebut akan dianjurkan dengan pematuhan SOP yang ketat di samping aktiviti pemantauan, kawalan dan penguatkuasaan yang berterusan,” katanya.
Jelasnya, situasi kesesakan, tiada penjarakan fizikal dan tiada kawalan jumlah pengunjung yang hadir memberi risiko berlakunya penularan jangkitan Covid-19.
Dalam pada itu, Khairy berkata, untuk makluman susulan pengungkaian Ordinan-Ordinan Darurat di Dewan Negara pada 8 Disember, nilai kompaun maksimum yang boleh dikenakan kepada individu dan pertubuhan ataupun organisasi adalah RM1,000.
“Sehubungan itu, sebagai sebuah kerajaan, kita seharusnya menunjukkan teladan serta amalan terbaik kepada seluruh masyarakat. Kita mestilah berpegang kepada standard yang sama seperti yang telah dikenakan ke atas rakyat,” katanya.