PUTRAJAYA: Industri halal negara menyumbang sebanyak RM149 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sepanjang pelaksanaan fasa pertama Pelan Induk Industri Halal (HIMP2030) meliputi tempoh 2023 hingga 2025.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kadar pelaksanaan pelan itu kini mencecah 89.7 peratus dengan merekodkan nilai eksport halal negara mencapai RM61.8 bilion.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal berkata, pencapaian ini menjadi petunjuk jelas bahawa hala tuju pembangunan industri halal negara berada pada landasan tepat.
“Ia semakin diyakini bukan sahaja di peringkat domestik, tetapi juga pasaran antarabangsa.
“Malaysia turut terus memperkukuh ekosistem Halal melalui pengembangan Halal Parks yang kini berjumlah 14 taman halal strategik melibatkan keluasan 200,000 ekar di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) di sini hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, taman-taman halal ini bukan sahaja menjadi pemangkin kepada pengeluaran dan logistik produk halal, malah berfungsi sebagai platform pelaburan yang menarik bagi syarikat tempatan dan antarabangsa.
Katanya, Halal Parks merekodkan pelaburan terkumpul berjumlah RM3.8 bilion setakat suku pertama tahun ini sekali gus membuktikan daya saing ekosistem halal terus menjadi tarikan utama dalam landskap pelaburan serantau.
Beliau berkata, Malaysia menyasarkan pelaburan terkumpul sebanyak RM25 bilion dalam sektor halal sehingga tahun 2030 melalui kerangka baharu HALMAS.
“Ini disertai dengan inisiatif pembangunan infrastruktur, pemantapan tadbir urus dan pemerkasaan insentif pelaburan yang lebih kompetitif.
“Kerajaan juga sedang meneliti penggubalan Bill of Guarantees, menawarkan insentif mesra pelabur, menyepadukan perkhidmatan HALMAS ke dalam Portal Sehenti Digital MIDA.
“Ini termasuk memperkenalkan tanda pengiktirafan khas HALMAS Mark of Excellence sebagai simbol kualiti dan piawaian global,” katanya.
Selain itu, beliau menggesa semua kerajaan negeri agar mengemukakan pelan intervensi khusus bagi memperkasa taman halal masing-masing terutamanya yang masih berdepan kadar penyertaan industri yang rendah.
Katanya, kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri amat penting untuk memastikan kelancaran pelaksanaan dan keberkesanan setiap inisiatif yang dirancang, selaras dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai hab halal yang mampan, inklusif dan kompetitif di peringkat antarabangsa.
Pada masa sama, katanya, inisiatif Women in Halal Industry (WHI) turut dilancarkan bertujuan memperkasakan peranan wanita dalam ekosistem halal negara serta mengiktiraf sumbangan mereka dalam pelbagai peringkat rantaian nilai industri. – UTUSAN