fbpx

Penganggur didenda RM8,000 buat hantaran jelik terhadap bekas menteri agama

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur didenda RM8,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan membuat pernyataan jelik terhadap bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri di laman profil Facebook milik sebuah syarikat televisyen swasta, tahun lalu.

Hakim M. M. Edwin Paramjothy menjatuhkan denda terhadap Lim Eng Seng, 44, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas lelaki itu menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan kes hari ini.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara enam bulan, sekiranya gagal membayar denda. OKS membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Eng Seng didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran pernyataan bersifat jelik menggunakan perkhidmatan aplikasi laman profil Facebook ‘NTV7’, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Hantaran itu kemudian telah dilihat di sebuah rumah di Jalan Pantai Permai 8, Pantai Dalam, Brickfields di sini pukul 4 petang pada 14 Mei tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Najihah Farhana Che Awang memohon hukuman berat bagi memberi pengajaran kepada OKS dan masyarakat.

Menurut Najihah, OKS telah membuat komen semasa sidang media rasmi oleh menteri agama pada waktu itu dengan menggunakan perkataan jelik dan tidak bersesuaian dengan adat budaya negara ini.

Bagaimanapun, Eng Seng yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia perlu menanggung keluarga dan tidak mempunyai pekerjaan.

Mengikut fakta kes, seorang pengadu membuat laporan polis berkaitan komen-komen yang berbaur hasutan dan menghina agama Islam sewaktu Facebook Live (siaran langsung) di saluran Facebook NTV7.

Ketika itu, Zulkifli sedang mengadakan sidang media JPM (Hal Ehwal Agama) berkenaan kebenaran bagi umat Islam untuk menunaikan solat Jumaat bermula 15 Mei tahun lalu.

Hasil siasatan mendapati penghantaran komen oleh pengguna Facebook ‘King Lim’ adalah jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain. – UTUSAN ONLINE

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!