PUTRAJAYA: Kerajaan tidak boleh tergesa-gesa membawa pekerja asing masuk ke negara ini sebaliknya ia memerlukan persediaan rapi termasuk mengambil kira faktor keselamatan kesihatan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan perlu memastikan pekerja asing yang akan dibawa ini bebas daripada sebarang jangkitan dan penularan Covid-19.
Beliau berkata, pemilihan pekerja asing dari kawasan tertentu juga penting dan ia mengambil masa yang agak lama.
“Sebab itu, apa yang kita mahu lakukan ini perlu ada kepastian. Saya akui kemasukan pekerja asing dapat membantu memulihkan sektor ekonomi tetapi apa akan jadi jika tiba-tiba varian baharu Covid-19 di kesan di negara ini?
“Siapa kita nak salahkan (jika penularan jangkitan berlaku) atau saya yang akan dipersalahkan nanti,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis sambutan Hari Imigresen 2021 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan dibuat Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham yang mendakwa kenaikan harga barangan ketika ini disebabkan kegagalan kerajaan menangani isu kekurangan tenaga kerja.
Koo Ham mengaitkan dua kementerian iaitu Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) sebagai punca utama berlakunya kenaikan harga barangan itu kerana dua kementerian itu tidak dapat mencapai keputusan dalam menangani isu kekurangan tenaga kerja.
Pada masa sama, Hamzah berkata, setakat ini, sebanyak 120,000 pekerja asing sudah mendaftarkan diri menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja khususnya bagi memenuhi keperluan sektor perladangan.
Menurutnya, pihaknya turut menerima pendaftaran bagi 80,000 pekerja asing lain, namun mereka ini pula menetapkan sektor mana yang mereka ingin bekerja.
“Selain itu, kita juga sudah menghantar lebih 200,000 pekerja asing pulang ke negara asal menerusi Program Rekalibrasi Pulang,” katanya.










