PETALING JAYA: Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) memaklumkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih berikutan pencemaran bau diesel yang telah dikesan di Sungai Semenyih.
Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sedang bekerjasama dengan Air Selangor bagi mengenal pasti punca pencemaran air mentah di sepanjang Sungai Semenyih dan anak-anak sungai di sekitar Sungai Semenyih.
Berikutan henti tugas LRA Sungai Semenyih ini, sebanyak 463 kawasan di lima wilayah Air Selangor iaitu Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan),
Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan) dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.
Pengguna juga boleh mendapatkan senarai kawasan yang terlibat menerusi aplikasi Air Selangor.
Air Selangor telah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) bagi menyediakan bantuan bekalan air alternatif kepada pengguna yang terlibat.
Sebanyak 81 lori tangki air akan digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas dan premis-premis kritikal.
Air Selangor amat memahami situasi pengguna yang memerlukan air bersih terutama semasa peningkatan kes Covid-19.
Air Selangor sedang mengambil segala usaha bagi meminimakan impak gangguan kepada para pengguna yang terjejas.