Pemuda dipenjara, remaja perempuan ke Sekolah Henry Gurney dera bayi 16 bulan - Utusan Malaysia

Pemuda dipenjara, remaja perempuan ke Sekolah Henry Gurney dera bayi 16 bulan

GAMBAR fail pada September lalu ketika Afiq Abdullah (dua kanan) dan isterinya (tiga dari kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah bagi didakwa atas pertuduhan penganiayaan sehingga menyebabkan kecederaan kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia 16 bulan dalam kejadian di Felda Bukit Jalor, Tampin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Seorang lelaki dihukum penjara manakala seorang remaja perempuan yang bersekongkol dengannya dihantar ke sekolah pemulihan akhlak Henry Gurney oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas kedua-dua mereka mengaku bersalah mendera bayi berusia 16 bulan.

Tertuduh, Muhammad Afiq Abdullah, 23, dan remaja perempuan berusia 18 tahun itu membuat pengakuan sebaik sahaja pertuduhan dikemukakan terhadap mereka di hadapan Hakim, Norma Ismail.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-duanya secara bersama didakwa melakukan penganiayaan terhadap seorang bayi berusia 16 bulan hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal di bahagian kepala, mata, badan dan juga tapak kaki.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah tidak bernombor di Felda Bukit Jalor, Tampin di antara 3 hingga 25 Ogos lalu.

Kedua-duanya dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang dibaca bersama Seksyen 34, Kanun Keseksaan.

Susulan pengakuan bersalah itu, Norma menjatuhkan hukuman 24 bulan penjara dan hukuman tambahan mengikut Seksyen 31(2) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu bon berkelakuan baik selama tempoh dua tahun ke atas Muhammad Afiq.

Remaja perempuan itu pula, diperintahkan ditahan di Sekolah Henry Gurney sehingga usia 21 mengikut Seksyen 76 Akta Kanak-Kanak 2001.

Pendakwaan terhadap pasangan itu dikendali Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Media pada September lalu melaporkan sepasang suami isteri ditangkap polis susulan kes dera seorang kanak-kanak lelaki berusia 16 bulan di Felda Bukit Jalor, Air Kuning Selatan, Tampin yang dilaporkan berlaku 25 Ogos lalu.

Polis telah mendapat laporan dari pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Air Kuning Selatan yang memaklumkan telah menerima seorang pesakit berusia 16 bulan dalam keadaan lebam di mata dan terdapat kesan seterika di belakang badan disyaki telah didera.

Menurut Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab. Wahab, bayi itu dipindahkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah untuk rawatan lanjut dan diberikan bantuan pernafasan selepas mengalami sesak nafas pada 25 Ogos lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN