MELAKA: Pemandu kereta yang menyebabkan kematian seorang lelaki manakala tiga anaknya parah dalam nahas di Jalan Klebang di sini, didakwa di Mahkamah Ayer Keroh esok atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintenden Hasan Basri Yahya berkata, suspek lelaki berusia 42 tahun itu dihadapkan di Mahkamah Sesyen.
Katanya, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.
“Kertas siasatan sudah dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya dan suspek akan dituduh mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh esok.Hasil analisis sampel darah suspek mengandungi alkohol sebanyak 203/100 miligram darah” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujarnya, jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara minimum tiga tahun dan maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM8,000 sehingga RM20,000.
Terdahulu, dalam 29 November lalu, seorang lelaki, Abdul Rahim Mohamad, 53, maut manakala tiga lagi anaknya berusia 11, 13 dan 20 tahun parah selepas kereta dinaiki dirempuh sebuah Nissan Teana dari arah bertentangan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 pagi itu, kereta jenis Proton Wira dipandu mangsa telah berpusing dan turut merempuh tiga buah motosikal lain. Nahas tersebut turut tular dalam media sosial selepas pemandu Nissan Teana tersebut dikatakan memandu dalam keadaan mabuk. – UTUSAN ONLINE