PUTRAJAYA: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) memutuskan untuk tidak bertanding secara langsung dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada 18 Disember ini.
Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Pejuang juga tidak akan terlibat dalam membantu mana-mana parti politik di Sarawak sama seperti dilakukan bagi PRN Melaka baru-baru ini.
“Pejuang tidak akan bertanding di Sarawak dan akan bertanding hanya di Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya ketika ditemui pada program pelancaran buku ‘Speaking of Mass Destruction…Perjalanan Ke Iraq, di sini hari ini.
Buku berkenaan hasil nukilan dan pengalaman Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali yang mengetuai delegasi 10 wanita pada 24 hingga 29 Mac 2000.
Mengulas mengenai tindakan Pejabat Perdana Menteri yang mahu melantik seorang lagi Penasihat Khas kepada Perdana Menteri, Dr. Mahathir dengan nada sinis berkata; “Patut ada banyak lagi (penasihat PM). Mana cukup tiga.
“Ini cara kita kerana kita tidak ada duit, jadi kita bagi kepada sesiapa sahaja yang bantu mereka,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri dilaporkan akan melantik seorang lagi Penasihat Khas yang bertanggungjawab dalam bidang kesihatan.
Sebelum ini, dua Penasihat Khas dilantik bagi masing-masing Datuk Seri Azalina Othman Said dilantik Penasihat Khas kepada Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia) dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri (Agama).