SUNGAI PETANI: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) didominasi golongan muda apabila lebih 50 peratus daripada penyertaan keahlian parti itu melibatkan mereka yang berusia bawah 35 tahun.
Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, bagaimanapun pihaknya belum bersedia untuk berkongsi jumlah sebenar keahlian parti tersebut.
Menurutnya, peningkatan ahli Pejuang dilihat lebih cepat berbanding ketika kami menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Mungkin ada sebabnya, saya pun tak pasti, namun saya lihat minat orang ramai terhadap Parti Pejuang ini semakin ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengedarkan risalah Pejuang kepada peniaga dan pengunjung di Arked Tanjung Dawai, sempena program Konvoi Pejuang Kedah Muda, Jelajah Parlimen Merbok di sini hari ini.
Tambahnya, selain Kedah, jumlah penyertaan ahli tertinggi Pejuang adalah di Sabah, Johor dan Selangor.
“Kedah mempunyai keahlian (Pejuang) paling ramai setakat ini dan kita harap jentera kita boleh bersedia untuk berdepan dengan pilihan raya pada bila-bila masa sahaja,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Mukhriz juga turut menyifatkan bahawa prestasi Jemaah Menteri dalam 100 hari pentadbiran Kerajaan #KeluargaMalaysia adalah gagal selain memberikan ‘Gred F’ kepada pencapaian terbabit.
“Kita tidak nampak apa pun telah dibuat oleh kerajaan, tak ada satu benda pun, yang dibuat pun daripada dasar yang lama, itu pun pelaksanaannya lemah,” katanya.