Pas Johor tetap mahu MN dipertahankan - Utusan Malaysia

Pas Johor tetap mahu MN dipertahankan

ABDULLAH HUSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pas Johor tetap akan berusaha memastikan kerjasama melalui Muafakat Nasional (MN) yang terjalin bersama UMNO akan terus dipertahankan selain pada masa sama mahu mempertahankan Perikatan Nasional (PN).

Pesuruhjaya Badan Perhubungan Pas negeri, Abdullah Husin berkata, langkah itu turut selari dengan keputusan Majlis Syura Ulama dan Pas pusat yang juga selaras dengan perintah Allah SWT.

Katanya, keputusan itu antara lain seperti yang terkandung dalam Piagam MN iaitu tidak menghalang parti komponennya membina kerjasama dengan mana-mana pihak sama ada parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau individu yang tidak bersama Pakatan Harapan (PH).

“Pas membina kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang telah meninggalkan PH.

“Kita akan terus teguh dengan usaha dakwah ke arah menyatukan umat Islam dan masyarakat umum yang lain sama ada parti politik, NGO atau platform lain bagi mewujudkan persefahaman bersama dan menyeluruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 5 Disember lalu, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor mengambil pendekatan untuk memberi tumpuan kepada pengukuhan parti dan gabungan Barisan Nasional (BN) terlebih dahulu sebelum memikirkan soal kerjasama dengan pihak lain termasuk MN.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak untuk menjalinkan sebarang kerjasama dengan mana-mana parti politik menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang, namun menegaskan perkara itu juga tertakluk kepada kekuatan UMNO dan BN.

Dalam pada itu, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang mengetuai UMNO Bahagian Pulai pula memaklumkan akan membawa usul supaya parti itu memutuskan hubungan dengan Pas seterusnya membubarkan MN pada Mesyuarat UMNO bahagian itu, Sabtu ini.

Menurut Nur Jazlan, usul itu akan dibuat setelah bosan didesak Pas yang lagak seperti parti lebih dominan berbanding UMNO, sedangkan tewas semua kerusi ditandingi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, baru-baru ini.

Sementara itu, mengulas lanjut, Abdullah berkata, perdamaian dan persefahaman yang dibina adalah untuk menjaga kepentingan Islam serta umatnya selain masyarakat umum yang lain dan ia perlu menyeluruh bukan kerana agenda tertentu dan bukan juga untuk kelompok tertentu sahaja.

“Petikan ayat ke-9 hingga 10 surah al-Hujurat juga menyebut, para ulama bersepakat menyatakan perintah mendamaikan umat Islam yang bertelagah adalah wajib.

“Perdamaian dan persefahaman ini perlu sentiasa dipertahankan dan diperbaharui agar terus subur walaupun mungkin ada tindakan yang kadang-kadang dilihat bertentangan dengan semangat persefahaman. Ini kerana persaudaraan Islam adalah berkekalan di dunia dan akhirat. Justeru ia wajib diperkukuhkan,” katanya.

Tambah beliau, ayat ke-46 surah al-Anfaal juga secara jelas mengingatkan agar terus mempertahankan permuafakatan dan kerjasama yang dibina kerana ia merupakan asas kepada kekuatan dan sebaliknya perpecahan pula adalah punca kepada kelemahan.

“Oleh itu, Pas Johor menyeru agar kita dapat bertaawun dalam perkara yang kita sepakati dan bertoleransi dalam perkara yang kita tidak sependapat. Semoga Allah melapangkan dada kita demi melihat persaudaraan Islam Melayu menjadi tunjang kekuatan bersama bangsa dan masyarakat lain. Perpaduan Nasional asas kekuatan. Perpecahan punca kehancuran,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN