JELEBU: Setiap parti politik di negara ini perlu sentiasa membawa agenda kebersamaan terutama dalam usaha mengukuhkan keharmonian antara kaum.
Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, kebanyakan parti politik ketika ini dilihat tidak membawa agenda perpaduan untuk semua dan perkara itu perlulah diubah.
“Kebanyakan parti-parti politik hanya mendukung cita-cita politik sendiri sahaja. Jangan lupa sejarah, sejarah kita sejak dahulu ada bersama bukan seorang.
“Semua parti mesti ada agenda kebersamaan rakyat Malaysia. Itu penting bagi kita. Jika lupa kita carilah semula sejarah kita,” katanya.
Rais yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Jelebu berkata demikian sewaktu berucap pada Majlis Perasmian Laman Budaya Kampung Chennah dekat Titi di sini hari ini.
Yang turut hadir dan bersama menyempurnakan perasmian tersebut bersama beliau ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook.
Rais menambah, langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengambil langkah menandatangani perjanjian bersama parti-parti pembangkang dilihat sebagai contoh terbaik dalam menjayakan Keluarga Malaysia yang menekankan perpaduan.
Dalam pada itu, Siew Fook berkata, majlis yang berlangsung tersebut sungguh bermakna dan kehadiran beliau disifatkan sebagai langkah untuk menggalakkan suasana politik baharu di negara ini.
“Walaupun kita berlainan parti dan haluan, tidak bermaksud kita tidak boleh bekerjasama demi rakyat. Kita boleh bekerjasama dalam agenda-agenda yang dapat memberi kebaikan kepada masyarakat khususnya penduduk setempat,” kata beliau.
Sementara itu jelasnya, Laman Budaya yang dirasmikan hari ini merupakan satu prasarana yang boleh menggamit kunjungan pelancong ke kawasan Chennah yang semakin dikenali dalam kalangan peminat ekopelancongan.
“Ini merupakan satu prasarana dan ia memerlukan aktiviti-aktiviti yang berpanjangan seperti tarian dan permainan tradisi. Ini tentu sesuatu yang digemari khususnya pengunjung dari bandar yang tentu jarang merasai pengalaman itu,” katanya.