KUALA LUMPUR: Vaksin pengeluaran tempatan yang kini sedang dihasilkan, Messenger Asid Ribonukleik atau mRNA masih belum dikaji sama ada mampu menangani varian Covid-19 terbaharu iaitu Omicron.
Menjelaskan perkara itu, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hasim berkata, kes yang berlaku di negara ini membabitkan varian Omicron hanyalah satu sahaja, namun pihaknya akan terus meneliti supaya ia tidak terus menular.
“Hanya satu kes setakat ini melibatkan Omicron, dan kita belum ada kajian tentang vaksin yang digunakan dalam negara kita.
“Walau bagaimanapun, kajian di peringkat antarabangsa mendapati penggunaan dos penggalak berkesan untuk tangani Omicron,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) meminta kerajaan menjelaskan adakah vaksin yang diambil kini mampu mengatasi varian Omicron serta virus yang berbahaya pada masa akan datang.