KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan sedia untuk menambah baik struktur sesi persekolahan negara yang baru sahaja dibuka selepas pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sejak pandemik Covid-19 melanda negara.
Di Dewan Rakyat, Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, pembukaan sekolah membolehkan pihak sekolah merancang dan melaksanakan aktiviti pemulihan dengan rapi.
“Kementerian bersedia melaksanakan penambahbaikan kepada sesi persekolahan selaras dengan keperluan semasa bagi memastikan murid mendapat akses pendidikan yang berkualiti.
“Kita menyedari sesi persekolahan secara bersemuka untuk tahun 2020 dan 2021 tidak dapat dilaksanakan seperti mana kebiasaan. Oleh yang demikian, kementerian telah membuat ketetapan untuk melanjutkan sesi persekolahan tahun 2021 sehingga Februari 2022.
“Pelanjutan sesi ini membolehkan pihak sekolah merancang dan melaksanakan aktiviti pemulihan, pengukuhan dan pengayaan secara intensif bagi meningkatkan kesediaan murid mengikuti tahun persekolahan berikutnya,” katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT).
Tambahnya, penetapan tersebut dibuat untuk melancarkan sesi persekolahan tahun 2022 dan 2023 bermula pada Mac.
“Ketetapan ini adalah berdasarkan peruntukan dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) berhubung bilangan hari persekolahan. Sesi persekolahan ini akan dijadikan sebagai panduan dalam menetapkan sesi persekolahan pada tahun seterusnya.
“Kementerian Pendidikan akan mengambil kira pelbagai faktor termasuk situasi semasa dan maklum balas daripada pihak yang berkepentingan,” katanya.
Terdahulu, Cha Kee Chin (PH-Rasah) meminta kementerian itu menjelaskan pendiriannya dalam menetapkan bahawa sesi persekolahan baru yang akan bermula pada Mac setiap tahun, seperti mana yang telah diumumkan sebelum ini.










