[PARLIMEN] Pindaan Perlembagaan kukuh kedudukan Sabah, Sarawak - Utusan Malaysia

[PARLIMEN] Pindaan Perlembagaan kukuh kedudukan Sabah, Sarawak

WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) membabitkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) untuk bacaan kali kedua dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia bertujuan untuk memasukkan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi yang sama dalam persekutuan dengan negeri di Semenanjung.

“Persefahaman dan kestabilan politik, ekonomi serta sosial di Malaysia yang dicapai melalui rang undang-undang ini penting bagi membentuk asas kukuh dalam sebuah Keluarga Malaysia,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Bacaan kali pertama rang undang-undang itu dibuat pada 3 November lalu.

Menurut rang undang-undang itu, Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan dicadang dipinda dengan menggantikan Fasal (2) kepada Negeri-negeri Persekutuan terdiri daripada: (a) Negeri-negeri Tanah Melayu iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu dan(b) Negeri-negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak.

Parlimen memerlukan majoriti dua pertiga untuk meminda Perlembagaan.

Dalam pada itu, pindaan turut dicadang pada Fasal 2 Perkara 160 Perlembagaan dengan memasukkan takrif Hari Malaysia dan menggantikan takrif Persekutuan selaras semangat Perjanjian Malaysia bertarikh 9 Julai 1963 dan menurut perjanjian berhubung pemisahan Singapura daripada Malaysia sebagai negara merdeka dan berdaulat bertarikh 7 Ogos 1965.

Selain itu, RUU itu juga bertujuan meminda Perkara 161A Perlembagaan dengan menggantikan perenggan (a) Fasal 6 iaitu “berhubung dengan Sarawak, seseorang yang warganegara dan yang tergolong dalam salah satu daripada ras dinyatakan dalam undang-undang negeri sebagai ras asli bagi negeri itu” serta memotong Fasal 7.

“Justeru, penetapan dasar jelas dilaksanakan untuk cadangan RUU ini melalui pelbagai sesi libat urus yang diadakan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Wan Junaidi turut berkata, sesi libat urus turut diadakan dengan pelbagai pihak bersama kerajaan Sabah menerusi pembentangan kepada Ketua Menteri pada 3 Oktober lalu dan pembentangan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah pada 4 Disember.

“Bagi sesi libat urus bersama kerajaan Sarawak pula, sesi pembentangan kepada Ketua Menteri diadakan pada 15 Oktober selain libat urus bersama Ahli Parlimen GPS pada 28 Oktober.

“Sesi libat urus bersama pihak kerajaan (Kelab Penyokong Kerajaan Keluarga Malaysia – Barisan Nasional /Perikatan Nasional) berlangsung pada 7 Oktober dan 2 Disember manakala sesi sama diadakan bersama pihak pembangkang (Pakatan Harapan) pada 12 Oktober dan 7 Disember,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN