KUALA LUMPUR: Akta Ventilasi dan Pengudaraan Bersih wajar diwujudkan dengan mengambil contoh kesedaran negara maju lain yang mementingkan pengudaraan baik dalam usaha membendung penularan pandemik Covid-19.
Charles Santiago (Klang-PH) berkata, akta tersebut akan memupuk kesedaran dalam kalangan pemilik premis di Malaysia selain dapat menghentikan wabak Covid-19 daripada tersebar.
“Saya ingin minta kementerian mempertimbang Akta Ventilasi dan Udara Bersih (Ventilation and Clean Air Act) bagi membendung penularan Covid-19.
“Dalam tindak balas terhadap pandemik Covid-19, beberapa negara mula menyedari kepentingan pengudaraan yang baik dalam memerangi Covid-19.
“Di Belgium, peniaga-peniaga dikehendaki memaparkan monitor kualiti udara supaya pelanggan boleh menyemak pengudaraan yang selamat dan bersih sebelum mereka memasuki premis,” katanya.
Beliau mencadangkan perkara tersebut dalam perbahasan Rang Undang-undang perbekalan 202 peringkat jawatan kuasa di Dewan Rakyat, hari ini. – UTUSAN ONLINE