Labubu bukan patung biasa-biasa, jadi 'kegilaan' fashionista

Labubu bukan patung biasa-biasa, jadi ‘kegilaan’ fashionista

PATUNG Labubu menjadi aksesori paling popular di Paris Fashion Week tahun ini.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LABUBU, si makhluk berbulu dan bertaring yang direka artis kelahiran Hong Kong, Kasing Lung bukan patung mainan ‘biasa-biasa’.

Patung comel tetapi menyeramkan ini sudah menjadi fenomena bukan sahaja dalam kalangan pengumpul mainan malah, mendapat tempat ‘istimewa’ di dunia selebriti dan fesyen global.

Labubu menjadi aksesori paling hangat di Minggu Fesyen Paris tahun ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mainan ini sangat laris hingga sering habis terjual secara dalam talian dan barisan panjang boleh dilihat di kedai-kedai terpilih yang menjualnya.

Labubu kebanyakannya dijual dalam format kotak misteri, bermakna pembeli tidak tahu versi mana yang akan mereka terima, faktor mendebarkan yang menambah daya tarikannya.

Walaupun sukar untuk menentukan faktor yang menyebabkan peningkatan popularitinya, sokongan selebriti, video ‘unboxing’ di media sosial dan kemampuan membangkitkan nostalgia memainkan peranan utama menjadikan mainan ini sangat diminati.

Labubu adalah watak rekaan seakan goblin atau gremlin, diinspirasikan oleh kisah dongeng Eropah. 

Menurut Lung, beliau mendapat ilham sewaktu membesar di Belanda.

“Saya suka membaca buku cerita dan dipengaruhi oleh legenda elf kuno Eropah.

“Semasa zaman kanak-kanak saya, tiada konsol permainan atau komputer, jadi saya banyak meluangkan masa melukis anak patung dengan pen. Sejak kecil saya sudah ada idea untuk melukis kisah dongeng,” katanya kepada BBC.

Lung mencipta rekaan Labubu pada 2015 dan menandatangani perjanjian pelesenan dengan Pop Mart pada 2019 untuk mengubahnya menjadi karakter patung mainan.

Katanya, nama Labubu tidak mempunyai makna khusus, ia adalah watak rekaan berdasarkan makhluk seperti elf.

Seorang YouTuber, James Welsh dari Hampshire, United Kingdom (UK) menganggap koleksi Labubunya sebagai pelaburan yang mungkin boleh memberikan pulangan lumayan dalam dua atau tiga tahun akan datang.

Welsh memiliki hampir 30 patung Labubu dengan harga sekitar 25 pound (RM145.57) setiap satu dan satu kotak lengkap dengan enam unit berharga sekitar 153 pound (RM891).

Dalam video yang tular baru-baru ini, Welsh kelihatan teruja seperti kanak-kanak apabila membuka kotak berisi Labubu edisi terhad, sebiji patung berbulu perang yang digambarkan oleh pengumpul sebagai ‘comel, ‘hodoh dan menyeramkan’.

“Saya fikir ia menakutkan tetapi sangat comel! Saya perlu memiliki kesemuanya, dalam setiap warna yang ada.

“Saya rasa ia memberikan satu bentuk eskapisme sebenar untuk golongan milenial. Cara untuk melarikan diri seketika daripada tekanan hidup dan kembali ke zaman kanak-kanak dengan  koleksi unik ini,” kata Welsh yang berusia 36 tahun.

Bekas penata gaya yang aktif mencipta kandungan berkaitan kecantikan dan penjagaan kulit itu menerima ribuan tontonan baharu di salurannya hasil video membuka kotak misteri Labubu.

“Ada kaitan yang kuat antara patung berbulu ini dan komuniti fesyen juga.

“Ia satu cara untuk meluahkan siapa diri anda, anda boleh menunjukkannya melalui pelbagai watak Labubu malah, ia menambah warna pada gaya anda. Fesyen itu sepatutnya menyeronokkan, ia tidak perlu terlalu serius, ia mencerminkan diri kita,” katanya.

Populariti Labubu melonjak apabila Lisa dari kumpulan Blackpink dilihat menggantungkan Labubu pada beg tangannya. 

Dalam satu temu bual, Lisa menggelar Labubu sebagai ‘obsesi rahsia’ beliau.

Tidak lama selepas itu, Rihanna pula dilihat membawa beg dengan menggantung patung Labubu padanya, mencetuskan gelombang trend dalam kalangan peminat fesyen yang ingin meniru gaya selebriti.

Labubu kini wujud dalam pelbagai versi daripada figura vinil hinggalah ke plush toys atau patung lembut, namun versi rantai kunci paling digemari kerana senang dibawa ke mana-mana.

Ramai turut membandingkan fenomena Labubu ini dengan Beanie Babies yang pernah menjadi kegilaan pada era 90-an, di mana proses mengumpul dan mengejar edisi terhad itu sendiri menjadi satu pengalaman yang menyeronokkan.

Bagi yang masih belum kenal Labubu, mungkin ini masanya untuk ‘terjebak’ dalam dunia comel dan ganjil ini tetapi perlu berhati-hati kerana sekali terbeli, mungkin sukar untuk berhenti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN