[PARLIMEN] Kerajaan rangka Malaysia Space-X 2030 - Utusan Malaysia

[PARLIMEN] Kerajaan rangka Malaysia Space-X 2030

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan kini sedang membangunkan satu rangka tindakan dikenali sebagai Malaysia Space Exploration (Malaysia Space-X) 2030.

Menjelaskan perkara itu, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, pembangunan itu adalah bagi memacu pertumbuhan serta mewujudkan ekosistem sektor angkasa negara yang mapan.

Dalam masa yang sama, rangka tindakan penyediaan strategi bagi tempoh 10 tahun itu adalah selaras Dasar Angkasa Negara 2030, khususnya menerusi teras keempat yang menggariskan usaha menyumbang kepada ekonomi dan kesejahteraan negara.

“Program ini akan dilaksanakan melalui kaedah perkongsian awam-swasta yang bertujuan mewujudkan peluang kerjasama strategik antara kerajaan dengan industri tempatan dalam pembangunan teknologi satelit buatan tempatan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Shaharizukirnain Abd Kadir (Pas-Setiu) meminta kerajaan menjelaskan mengenai perancangan MOSTI untuk membantu pembangunan industri angkasa negara, seterusnya menarik pelaburan dari luar negara bagi melengkapkan ekosistem angkasa negara.

Terdapat empat inisiatif utama sedang dirancang dan akan dilaksanakan bawah Malaysia Space-X 2030, termasuk program pembangunan satelit penderiaan jarak jauh.

Jelas Ahmad Amzad, program itu berpotensi meningkatkan pertumbuhan industri pembuatan komponen satelit, industri hiliran berasaskan data berteraskan teknologi angkasa dan industri sampingan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, MOSTI turut akan mempertingkat jaringan itu melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dengan pusat kecemerlangan di negara maju dalam bidang teknologi angkasa.

“Ia bertujuan meningkatkan keupayaan negara berlandaskan penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi, termasuk melalui pemindahan teknologi maju berkaitan angkasa seperti teknologi satelit, pelancar, sistem antena serta kecerdasan buatan dalam pemprosesan data raya yang berkaitan bagi pembangunan kepakaran dalam sektor industri tempatan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN