KUALA LUMPUR: Susulan kenaikan harga barang, adalah tidak wajar untuk mengekalkan kadar Rancangan Makanan Tambahan (RMT) sebanyak RM2.50 sekepala.
Dr. Maszlee Malik (PH-Simpang Renggam) berkata, mengikut keperluan semasa, harga tersebut perlu dinaikkan kepada harga berpatutan iaitu RM4 sekepala.
“Saya setuju kadar RMT perlu dinaikkan dari RM2.50 kepada RM4 berdasarkan keadaan barang-barang basah semasa yang semakin mahal.
“Kalau kekalkan kadar lama, ia akan sama ada jejas kualiti makanan, atau jejaskan pengusaha kantin. Maka dicadangkan dinaikkan kadar tersebut.
“Begitu juga saya konsisten, dan ingin menyeru agar program Sarapan Pagi Percuma dilaksanakan, tetapi terdapat keengganan kerajaan daripada pihak Kementerian Pendidikan. Bukan hanya B40, tetapi diperluas kepada sehingga M40 yang memerlukan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Pembekalan (Bajet) 2022 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pendidikan.