Omicron: Hadkan bilangan pengunjung di kawasan tarikan pelancong - Utusan Malaysia

Omicron: Hadkan bilangan pengunjung di kawasan tarikan pelancong

TUANKU SYED FAIZUDDIN PUTRA JAMALULLAIL (kiri) berkenan menyampaikan sumbangan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam program MAIPs Peduli Khas ke-56 2021 di Simpang Empat, Arau, Perlis, semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pemilik premis lokasi pelancongan sama ada dikendalikan agensi kerajaan, swasta ataupun individu perlu memastikan bilangan pengunjung dihadkan dalam satu-satu masa bagi mengelakkan kesesakan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, hal demikian berikutan lonjakan kes jangkitan varian Omicron di beberapa buah negara ketika ini yang amat membimbangkan dan perlu dipandang serius semua pihak.

Titah baginda, perkembangan dalam tempoh beberapa minggu dan bulan yang mendatang hendaklah dipantau dengan sebaik-baiknya.

“Pengunjung yang hadir ke tempat pelancongan juga mestilah sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dan pastikan sanitasi dijalankan secara berkala. Patuh dengan SOP yang telah ditetapkan walaupun hanya bersama keluarga atau rakan taulan dalam menikmati juadah di premis atau kedai makan.

“Di samping itu, pendekkan masa makan di kedai dan hanya tanggalkan pelitup muka semasa hendak menyuap makanan atau minuman,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyampaikan sumbangan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam program MAIPs Peduli Khas ke-56 2021 yang turut mendapat kerjasama FGV Holdings Berhad di sini, semalam.

Mengiringi baginda, Pengerusi Kumpulan FGV Holdings Berhad, Datuk Dzulkifli Abd Wahab; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Mohd Nazrul Izam Mansor dan Ketua Pegawai Eksekutif  MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Tiga buah keluarga asnaf terpilih di sekitar kawasan Simpang Empat iaitu Azizan Hasan, 67;  Hatiah Abdul Wahab, 78 dan Latif Saidin, 66, masing-masing menerima RM700, beras serta bekalan makanan mentah daripada MAIPs.

Mereka  turut menerima sumbangan tambahan berupa RM500, sekotak bahan makanan mentah serta hasil produk keluaran FGV selain beberapa kotak pelitup muka daripada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan produk L’Oreal daripada Puan Eena Khalil.

Dalam pada itu, Pengarah Kesihatan negeri, Dr Sirajuddin Hashim berkata, setakat ini, varian Omicron lebih mudah berjangkit berbanding varian Delta sekali gus menyebabkan peningkatan bilangan kemasukan ke hospital. 

“Sehubungan itu, pengambilan vaksin yang lengkap dan dos penggalak bagi mereka yang telah dikenalpasti terutamanya golongan berisiko tinggi seperti warga emas dan mereka yang mempunyai komorbiditi amatlah penting bagi mengurangkan jangkitan dan kematian akibat jangkitan Covid-19,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya