NGO, pertubuhan belia boleh mohon bantuan KBS lancarkan misi pasca banjir - Utusan Malaysia

NGO, pertubuhan belia boleh mohon bantuan KBS lancarkan misi pasca banjir

WASITAH Mohd. Yusof (tengah) membantu menyusun barangan keperluan mangsa banjir ketika melawat pusat pengumpulan barangan keperluan pasca banjir di Kompleks Belia dan Sukan di Paroi, Seremban, Negeri Sembilan,  hari ini. - UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Persatuan ataupun mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk pertubuhan belia yang menggerakkan misi bantuan pasca banjir ketika ini boleh memohon bantuan kewangan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Datuk Dr. Wasitah Mohd. Yusof berkata, bantuan tersebut akan dipertimbang kepada persatuan dan NGO yang berdaftar serta mempunyai urus tadbir yang baik sebagai sokongan untuk melancarkan misi bantuan banjir masing-masing.

“Pasca banjir menjadi satu tempoh yang masih boleh berlarutan mungkin sehingga pertengahan Januari tahun depan. Bagi menampungnya, persatuan dan pertubuhan mungkin menerima keperluan sukarelawan bagi bantuan di tempat pengagihan dan sebagainya.

“Mereka boleh membuat perancangan sehingga pertengahan Januari ini dan sebenarnya boleh memohon bantuan bagi kami pertimbangkan sedikit elaun sukarelawan dan menjadi rakan kongsi kepada gerakan Skuad Sukarelawan Pasca Banjir KBS,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat pusat pengumpulan barangan keperluan pasca banjir di Kompleks Belia dan Sukan di Paroi, di sini hari ini.

Sementara itu, Wasitah berkata, Skuad Sukarelawan Pasca Banjir KBS kini mencecah seramai 8,000 sukarelawan selepas dilancarkan pada 19 Disember lalu.

“Kami masih membuka pendaftaran untuk sukarelawan ini yang dilihat semakin hari semakin ramai yang datang menunjukkan minat serta memberikan respon bagi memberikan bantuan kepada masyarakat. Pendaftaran untuk misi sukarelawan pasca banjir KBS ini saya tidak lihat ia boleh dihentikan begitu sahaja kerana contohnya setiap hari masih terdapat curahan bantuan di pusat-pusat pengumpulan.

“Sebab itu misi pasca banjir ini adalah komponen yang sangat penting dan sentiasa memerlukan sukarelawan oleh itu kami tidak berhasrat untuk menutup pendaftaran sukarelawan pada ketika ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya