PETALING JAYA: Doktor kontrak merancang meneruskan mogok kali kedua yang tertunda sebelum ini pada Januari ini selepas kerajaan didakwa belum tampil dengan penjelasan mengenai lantikan tetap mereka dalam Kementerian Kesihatan.
Rancangan itu hadir selepas protes kedua yang dijadualkan bermula 8 Disember lalu terpaksa ditangguhkan seketika apabila Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan merayu kepada mereka untuk menangguhkan siri tunjuk perasaan itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, jurucakap Hartal Doktor Kontrak, Dr. Mohamad Yassin berkata, sehingga kini, tiada mana-mana wakil kerajaan termasuk Khairy sendiri mendekati pihaknya selepas rancangan mogok ‘berjaya ditahan’ kerajaan.
Malah, kata beliau, kerajaan tidak tampil berjumpa doktor kontrak bagi membincangkan masalah dihadapi, walhal sebelum ini, dilaporkan Kementerian Kesihatan akan membawa isu tersebut ke mesyuarat Kabinet dalam tempoh dua minggu.
Bagaimanapun, 17 hari selepas doktor kontrak diminta bersabar, tiada petunjuk jelas mengenai pelantikan tetap termasuk peluang melanjutkan pengajian ke peringkat kepakaran.
“Adalah pelik selepas Khairy meminta kami menangguhkan mogok, tetapi hingga kini tiada khabar dan kami masih menanti-nanti keputusan kerajaan. Bagaimanapun, kami masih berharap dapat berjumlah dengan pihak kementerian untuk berbincang dan mendengar penerangan tentang mekanisme mengatasi masalah kami.
“Rancangan asalnya memang tetap pada 8 Disember lalu, tetapi, Khairy memohon supaya kami bersabar dan menangguhkan mogok kerana beliau telah membawa isu ini ke Kabinet, jadi kami memutuskan menangguhkannya.
“Kalau masih tiada keputusan, mogok diteruskan namun bergantung kepada keadaan banjir melanda negara sekarang,” katanya ketika dihubungi semalam.
22 November lalu, akhbar ini melaporkan Gerakan Hartal Doktor Kontrak akan memulakan siri mogok kedua di seluruh negara pada 8 Disember ini, pukul 12 tengah hari, akibat masalah lantikan tetap mereka ke dalam Kementerian Kesihatan masih belum selesai.
Pun begitu, 8 Disember lalu, ia terpaksa ditangguhkan bagi menunggu penjelasan Kementerian Kesihatan selain mengambil maklum kenyataan Khairy pada 26 November lalu yang menyatakan isu tersebut akan dibawa ke mesyuarat Kabinet.
Gerakan Hartal Doktor di seluruh negara sebelum ini terpaksa mengambil tindakan drastik untuk tidak bekerja pada 26 Julai lalu akibat kegagalan kerajaan memenuhi tuntutan menawarkan pelantikan tetap kepada semua doktor kontrak sedia ada selain menjelaskan kriteria lantikan tetap secara terperinci.
Dalam pembentangan Bajet 2022 pula, kerajaan bersetuju meluluskan penajaan program kepakaran dengan peruntukan RM100 juta yang bakal memberi manfaat kepada 3,000 pegawai perubatan dan pergigian lantikan kontrak, namun, ia belum menjawab persoalan dan penantian mereka mengenai pelantikan tetap.
Dalam pada itu, Mohamad Yassin antara lain tetap membangkitkan peruntukan RM100 juga yang dikatakan membolehkan doktor kontrak menyambung pelajaran ke peringkat ijazah sarjana bagi bergelar pakar perubatan.
“Sampai sekarang pun, tiada perincian seperti siapa layak menerimanya, berapa jumlah doktor akan diberi penajaan setiap tahun, apa akan jadi kalau doktor kontrak yang ditawarkan itu berjaya melengkapkan pengajian dan menjadi pakar.
“Adakah kontrak mereka akan disambung atau dijadikan status tetap dan apa pula terma dan serta syarat penajaan itu? Semua ini tidak pun diterangkan oleh kerajaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











