PETALING JAYA: Penyanyi dan personaliti media sosial, Chazynash, berkolaboratif secara muzikal bersama penyanyi dan penulis lagu, Dani Kurama, dalam single balada pop berjudul Jika Aku Pergi.
Hasil idea mereka berdua menerusi lagu tersebut diterbitkan oleh Rocketfuel Indie Space Station dan muzik video (MV) pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di YouTube Rocketfuel Network.
“Mungkin ramai di luar sana lebih mengenali saya sebagai personaliti media sosial dengan video-video viral yang saya hasilkan bersama isteri, namun minat menyanyi itu sebenarnya telah lama wujud.
“Sebelum ini, saya ada menghasilkan beberapa buah lagu namun kebanyakannya berbentuk parodi.
“Sehinggalah saya bertemu Dani Kurama. Kini saya yakin masanya sesuai untuk muncul dengan sesuatu yang lebih serius menerusi platform yang disediakan oleh Rocketfuel Indie Space Station,” kata Chazy.
Menurut Dani pula, jiwa seni itu sentiasa ada di mana dia sering menghasilkan lagu-lagu secara suka-suka di laman YouTube.
Bagaimanapun, Dani juga pernah mendapat kritikan dari warganet yang pernah mempertikaikan bakatnya sehinggalah single sebelum ini mendapat sambutan luar jangkaan dan terus tular di laman media sosial.
“Muzik sememangnya sudah sebati dalam diri saya dan saya tak peduli dengan apa orang kata kerana yang penting niat saya ikhlas dalam menghasilkan sesuatu.
“Setiap karya yang saya ciptakan dekat di hati kerana ada kaitan dengan kisah peribadi,” ujar Dani.
Dedah Chazy, sebelum ini mereka pernah berkolaborasi menghasilkan sebuah single namun mengakui kurang mendapat sambutan.
“Saya dan Dani pernah menghasilkan sebuah single sebelum ini namun kurang mendapat sambutan, dan dengan adanya platform yang disediakan oleh Rocketfuel Indie Space Station ini, semoga ia dapat melonjakkan lagi nama kami berdua di persada industri muzik tempatan.
“Oleh kerana kami berdua pernah bekerjasama sebelum ini, proses rakaman berlangsung dengan lancar tanpa sebarang masalah dan saya senang berkolaborasi dengan Dani.
“Dia juga seorang yang sangat berbakat, punyai idea yang kreatif serta dedikasi yang ditunjukkan wajar dijadikan contoh,” jelas Chazy.