PETALING JAYA: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) enggan membuang masa, sebaliknya mahu mempersiapkan pasukan lebih awal bagi menghadapi Kejohanan Piala Dunia Remaja Lelaki 2023 yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur.
Malaysia menjadi tuan rumah kejohanan tersebut dan MHC bersedia berbelanja bagi memastikan Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan mendapat pendedahan terbaik di peringkat antarabangsa.
Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, badan induk sukan hoki negara itu akan menghantar skuad remaja menjalani beberapa perlawanan antarabangsa selain mengadakan siri jelajah.
“Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan akan diberikan pendedahan secukupnya termasuk menghantar mereka beraksi dalam perlawanan antarabangsa selain mengikuti siri jelajah.
“Perancangan ini sebagai persediaan menuju Kejohanan Piala Dunia Remaja Lelaki 2023 di mana Malaysia menjadi tuan rumah. Oleh itu, kita mahu siapkan pasukan terbaik,” ujarnya.
Dalam pada itu, Subahan menjelaskan, tujuh pemain sedia ada yang masih boleh beraksi pada Kejohanan Piala Dunia Remaja akan datang bakal diserap masuk ke Skuad Projek Khas untuk menjalani latihan serta persiapan.
“Tujuh pemain itu seterusnya akan bersama-sama pemain baharu Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan. Mereka akan bersama pasukan tersebut untuk melakukan persediaan,” katanya.
Pada Piala Dunia Remaja Lelaki yang berlangsung di Bhubaneswar, India bulan lalu, menyaksikan pasukan negara menamatkan saingan di tempat kelapan selepas terkandas di peringkat suku akhir. – UTUSAN ONLINE