Manifesto 34 Perkara GPS pertahan hak rakyat Sarawak - Utusan Malaysia

Manifesto 34 Perkara GPS pertahan hak rakyat Sarawak

ABANG Johari Tun Openg (tengah ) menunjukan Buku Manifesto GPS bertempat di Borneo Convention Canter Kuching, Sarawak, malam ini. - UTUSAN/HARITH AUFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak(GPS) akan melaksana dan meneruskan Manifesto 34 Perkara untuk rakyat negeri ini jika gabungan itu mendapat mandat  menerajui kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12, 18 Disember ini.

Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, GPS akan mempertahan dan membela hak-hak Sarawak mengikut Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 10963 (MA63), Perlembagaan Negeri dan undang-undang negeri Sarawak.

Beliau berkata, kerajaan akan mengiktiraf dan menjamin hak rakyat ke atas tanah Native Customary Right (NCR) dan Native Territorial Domain (NTD), menjamin kestabilan dan autonomi politik negeri itu dan menjamin hak kesaksamaan yang inklusif untuk semua rakyat negeri ini.

“Kerajaan juga akan menjadikan Sarawak maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030, merapatkan jurang pendapatan rakyat melalui pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan dan membasmi kemiskinan bandar dan luar bandar.

“Kerajaan akan menyediakan lebih banyak rumah mampu milik, Skim Pembesaran Kampung (SPK), Skim Penempatan Semula (SPS), bantuan pembinaan dan baik pulih rumah panjang,” katanya sempena pelancaran manifesto GPS PRN Sarawak Ke-12, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam ini.

Selain itu, kata Abang Johari, kerajaan akan memacu pembangunan ekonomi negeri melalui agenda ekonomi digital, memperkasa usaha melindungi dan memulihara alam semula jadi dan meningkatkan pendapatan dan sumber hasil Sarawak.

Antara lain, katanya, GPS akan memperhebat jaringan jalan perhubungan pengangkutan, pelabuhan dan lapangan, memperluas liputan bekalan air, elektrik dan gas serta memperluaskan liputan telekomunikasi dan kemudahan digital serta mentransformasikan pembangunan ekonomi luar bandar.

Menurutnya, kerajaan turut mentransformasikan sektor pertanian, penternakan dan perikanan, membangunkan sektor perindustrian, pelaburan dan menyediakan lebih banyak peluang perniagaan dan memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Kerajaan mahu memperhebat sektor pelancongan dan perkhidmatan, memperkasakan perkhidmatan kerajaan berteraskan kepada integriti dan tadbir urus yang baik, meningkatkan akses dan kualiti perkhidmatan kesihatan dan meningkatkan kualiti pendidikan serta latihan teknikal.

“Bukan itu sahaja, GPS akan menjamin keselamatan negeri dan rakyat, meningkatkan kecekapan pengurusan bencana, mengukuhkan keharmonian dan kesejahteraan sosial, menjamin dan memelihara budaya, warisan dan kepercayaan pelbagai kaum dan memperkukuhkan Mahkamah Adat Bumiputera.

“Kerajaan akan membantu dan mempercepatkan anak Sarawak yang layak untuk mendapatkan kerakyatan, menjaga dan memelihara kebajikan rakyat, memperkasakan penglibatan wanita dalam pembangunan Sarawak, mempertingkatkan penyertaan belia dalam pembangunan negeri dan memperhebatkan bidang sukan serta mengukuhkan kewangan masa hadapan iaitu Sovereign Wealth Fund akan ditubuhkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.