Loji ayam Thailand, China masih sah status eksport ke Malaysia - Utusan Malaysia

Loji ayam Thailand, China masih sah status eksport ke Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kesemua sembilan loji ayam di Thailand dan dua loji ayam di China yang tersenarai di laman sesawang Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) adalah masih sah status kelulusan eksport ke Malaysia.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan DVS dalam kenyataan akhbar bersama menjelaskan, kelulusan pelanjutan status eksport loji-loji tersebut dipersetujui dan disahkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengiktirafan Abatoir dan Loji Pemprosesan Luar Negara (JTPALLN) yang bersidang pada 29 Mei tahun lalu.

Menurutnya, JTPALLN dianggotai oleh pegawai-pegawai DVS, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Jakim serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

“Pengawasan halal ke atas loji yang diberi kelulusan mengimport ayam ke Malaysia dari Thailand akan dipantau dan diselia oleh badan pengesahan halal luar negara diiktiraf oleh Jakim iaitu The Central Islamic Council of Thailand (CICOT) dengan tempoh sah pengiktirafan bermula pada 6 September lalu hingga 31 Disember 2023.

“Dalam masa sama, pengiktirafan badan pensijilan halal Shandong Halal Certification Service (SHC) sebagai badan yang diiktiraf oleh Jakim pula bermula dari 23 Januari tahun lalu sehingga 23 Januari tahun depan,” demikian kenyataan akhbar tersebut di sini hari ini.

Memandangkan tempoh pengiktirafan beberapa badan pensijilan halal yang diiktiraf oleh Jakim termasuklah SHC akan tamat pada 23 Januari tahun depan, Jakim telah melaksanakan remote audit kepada badan-badan pensijilan halal luar negara berkenaan pada 5 April sehingga 20 April lalu untuk proses pembaharuan pengiktirafan tersebut.

“Pada 17 Jun lalu, Mesyuarat Jawatankuasa Pengesahan Pengiktirafan Halal Luar Negara, Jakim meluluskan pembaharuan pengiktirafan kepada SHC bermula 24 Januari 2022 hingga 31 Disember 2023.

“Sijil baharu belum dikeluarkan kerana tempoh pengiktirafan sedia ada kepada badan pensijilan ini masih belum tamat,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, kelulusan pembaharuan pengiktirafan badan pensijilan halal tersebut dipersetujui dan disahkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengesahan Pengiktirafan Halal Luar Negara, Jakim yang bersidang pada 17 Jun lalu.

Kenyataan akhbar bersama yang dikeluarkan DVS dan Jakim hari ini adalah bagi menjelaskan kekeliruan penceramah bebas yang mempertikaikan kenyataan DVS terdahulu berhubung isu berbangkit yang ditularkan baru-baru ini.

Terdahulu, video seorang penceramah bebas yang tular dalam media sosial itu mendakwa loji-loji ayam Thailand dan China yang mengeksport produk ayam ke Malaysia telah tamat tempoh dan tidak halal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN