PORT DICKSON: Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam nahas di Kilometer 15.2 Jalan Seremban dekat sini kira-kira pukul 8.20 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa, Cheok Kha Hou, 22, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dada.
“Siasatan awal mendapati mangsa yang memandu kereta Perodua Kancil dari Seremban menghala ke Port Dickson. Sampai di tempat kejadian, kenderaan mangsa hilang kawalan lalu masuk ke laluan kenderaan Toyota Vellfire yang dipandu seorang lelaki berusia 52 tahun dari arah bertentangan.
“Akibat kemalangan, mangsa tersepit dan mengalami kecederaan di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Port Dickson untuk dibedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aidi Sham menambah, pemandu Toyota Vellfire tersebut dan seorang lagi penumpang iaitu seorang wanita berusia 40 tahun mengalami sakit di bahagian lengan dan cedera ringan di bahagian badan.
“Siasatan lajut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.-UTUSAN ONLINE










