SHAH ALAM: Penderaan secara seksual merupakan kes kedua tertinggi selepas penderaan fizikal dan emosi dalam keseluruhan kes penderaan kanak-kanak yang berjumlah 1,076 di seluruh Selangor dicatatkan dari Januari hingga September tahun ini.
Sebanyak 514 kes penderaan seksual terhadap kanak-kanak dilaporkan hampir menyamai penderaan fizikal iaitu 527 kes, walau bagaimanapun penderaan emosi pula mencatatkan laporan sebanyak 35 kes.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, maklumat tersebut diperoleh berdasarkan perkongsian maklumat daripada Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
“Jumlah kes ini dipecahkan kepada tiga kategori iaitu penderaan fizikal, seksual dan emosi. Semua kes ini tidak dikhususkan kepada kes pedofilia,” katanya ketika ketika Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-14 Tahun 2021 di Bangunan Annex, di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan jumlah kes pedofilia yang berlaku di negeri ini sejak 2018 daripada Juwairiya Zulkifli (PH-Bukit Melawati).
Menjawab soalan tambahan yang ditanyakan Dr. Idris Ahmad (PH-Ijok) sama ada terdapat pertambahan kes sama ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, kata Siti Mariah, beliau akan memberikan jawapan bertulis terhadap soalan berikut.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah Seksyen 17, Akta Kanak-Kanak 2001 bertanggungjawab memberikan perlindungan kepada kanak-kanak daripada dicabul dari segi fizikal, emosi atau seksual daripada mana-mana orang.
“Bagi membantu mencegah dan mengurangkan kes kanak-kanak termasuk kes pedofilia, JKM Selangor mempunyai 11 Pasukan Pelindungan Kanak-kanak (PPKK) di setiap daerah,” tegasnya.