GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang menggerakkan lebih 100 pasukan pemantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di lokasi-lokasi tumpuan di negeri ini bagi memastikan orang awam terus mematuhi SOP pencegahan penularan Covid-19.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, pasukan pemantau itu membabitkan semua elemen rondaan dan pihaknya bersedia menambah anggota bertugas sekiranya terdapat keperluan untuk berbuat demikian.
“Kita sentiasa menjalankan rondaan dan pemantauan secara berkala di kawasan tumpuan orang ramai. Malah, pemantauan tidak pernah berhenti bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP memandangkan terdapat varian terbaharu Covid-19 iaitu Omicron.
‘Jadi orang ramai perlu lebih peka dalam menjaga keselamatan masing-masing,” katanya selepas mengadakan lawatan di kawasan tumpuan pelancong di Jeti Chew, di sini hari ini.
Menurut Mohd. Shuhaily, ketika ini pematuhan SOP di Pulau Pinang berada pada tahap yang baik dan orang awam serta pelancong tempatan juga didapati mematuhi SOP ditetapkan. – UTUSAN ONLINE