PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan mana-mana pihak yang ingin melakukan konvoi perlu mendapatkan kelulusan pihak berkuasa bagi memastikan sebarang tindakan dilakukan sejajar dengan undang-undang jalan raya.
Ini susulan beberapa rakaman video menunjukkan kumpulan motosikal berkuasa tinggi yang membuat aksi ‘Lagak Marshal’ di jalan awam tular dalam media sosial.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, mana-mana pihak tidak mempunyai kuasa untuk memberhentikan kenderaan selain anggota trafik.
“Mereka tiada kuasa jadi marshal atau untuk tahan kereta atau sebagainya, sebab itu pihak yang nak berkonvoi perlu mendapatkan kelulusan, jadi kita akan attach trafik bagi tugasan kawalan.
“Jika mereka melakukan secara haram sudah tentu melanggar undang-undang yang ada. Kalau berlakunya kemalangan itu yang susah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Kelmarin, polis mengesan kumpulan konvoi motosikal tinggi yang membuat lagak aksi marshal di jalan awam di Negeri Sembilan.
Rakaman itu menunjukkan aksi marshal memberi arahan kepada sebuah kenderaan awam supaya memperlahan kenderaan dan bergerak ke kiri lorong jalan bagi membenarkan sekumpulan motosikal berkuasa tinggi melalui laluan itu.
Berdasarkan rakaman dipercayai konvoi itu bergerak dari arah Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, Melaka melepasi kawasan Jalan Tanjung Agas, Pasir Panjang, Port Dickson.
Selain itu, pada 20 November lalu, polis turut mengesan individu terbabit selepas rakaman video berdurasi satu minit 10 saat tular di laman sosial yang menunjukkan aksi marshal mengawal dan memberhentikan kenderaan awam di persimpangan lampu isyarat Sua Betong di Port Dickson.
Mereka bertindak demikian dipercayai bertujuan memberi laluan kepada konvoi penunggang motosikal berkuasa tinggi yang bergerak melepasi lampu isyarat merah.
Konvoi motosikal berkuasa besar itu bergerak dari Lebuhraya Seremban – Port Dickson (SPDH) menghala masuk melalui lampu isyarat Sua Betong ke Bulatan Sunggala, Telok Kemang.- UTUSAN ONLINE