KPDNHEP minta kerjasama pengguna, peniaga - Alexander

KPDNHEP minta kerjasama pengguna, peniaga

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyelesaian isu kenaikan harga barangan keperluan bakal dikemukakan oleh kerajaan bagi mengawal kenaikan tersebut dan meminta kerjasama pengguna dan peniaga bagi mencapai penyelesaian yang seimbang.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementeriannya sedang mengkaji masalah kenaikan harga barang yang didapati akan terus meningkat menjelang tahun 2022.

Menurut beliau, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang berusaha bagi menyelesaikan masalah kenaikan itu pada masa jangka pendek dan panjang.

“Untuk jangka pendek kami merancang untuk mengadakan Jualan Keluarga Malaysia di setiap kawasan parlimen seluruh negara secara berperingkat, jualan itu akan diadakan sekurang-kurangnya dua kali dalam satu bulan.

“Pada program tersebut, kita akan menawarkan harga barangan keperluan atau makanan yang jauh lebih murah daripada harga pasaran semasa. Saya menjangkakan harga barangan tersebut adalah 20 peratus lebih murah,” katanya dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, harga barangan bakal meningkat sehingga 200 peratus pada tahun hadapan dan meminta rakyat untuk bersedia menghadapi kenaikan harga barangan itu.

Alexander berkata, bagi memastikan penyelesaian yang dikemukakan adalah seimbang untuk kebaikan peniaga dan pengguna, KPDNHEP tidak mengambil langkah drastik dengan mengenakan sekatan harga maksimum.

Jelasnya, langkah itu tidak diambil kerana kementerian masih memikirkan akan nasib-nasib peniaga yang juga bakal menghadapi kerugian jika sekatan itu dilakukan.

“Saya harap semua pihak faham, semua usaha kerajaan adalah untuk memberi peluang kepada semua pihak. Kami tidak boleh memuaskan seratus peratus bagi kedua belah pihak, ia sangat sukar dan mustahil.

“Kami cuba untuk menyelesaikan masalah ini pada jangka masa panjang dengan mewujudkan skim harga maksimum seperti yang digunapakai ketika menjelang hari perayaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN