PETALING JAYA: Atas kesedaran pembinaan negara bangsa dapat dilakukan dengan jaya melalui perpaduan, Rabitah Antarabangsa Alumni al-Azhar Malaysia (WOAG) dan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) dengan kerjasama erat Kementerian Perpaduan Negara serta Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) menganjurkan Kongres Perpaduan Negara 2021, hujung minggu ini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Media dan Publisitinya, Mohd. Shauki Abd. Majid berkata, kongres dijangka dilaksanakan dalam bentuk Webinar pada 18 dan 19 Disember ini dengan jangkaan peserta secara maya sehingga 1,000 orang.
“Perpaduan sudah menjadi istilah lazim dalam masyarakat Malaysia. Tidak ada manusia percaya bahawa pembinaan negara bangsa dapat dilakukan dengan jayanya tanpa wujudnya perpaduan sama ada dalam kalangan pemimpin, rakyat mahupun institusi-institusi yang memayungi masyarakat.
“Namun disebabkan perbezaan pegangan politik seringkali menjadi punca kepada perpecahan sedangkan politik sewajarnya menjadi wadah kepada penyatuan.
“Atas kesedaran itu, keinginan untuk bersama memikirkan masa depan negara dalam konteks perpaduan dan penyatuan hasrat, iltizam dan tindakan, menggerakkan empat institusi bergabung tenaga menganjurkan Kongres Perpaduan Negara 2021,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kongres Perpaduan Negara 2021 dijangka dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob manakala majlis penutup oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad.
Antara pembentang-pembentang kertas kerja adalah Prof. Emeritus Datuk Dr. Zainal Kling, Tan Sri Dr. Ismail Iberahim, Prof. Datuk Dr. Ahmad Hidayat Buang, Prof. Dr. Shamrahayu Ab. Aziz, Prof. Madya Dr. Siti Zubaidah Ismail, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Mohd Kamal Hassan dan Prof. Datuk Dr. Mohd Yakub @ Zulkifli Mohd Yusoff.
Selain itu, Prof. Emeritus Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali, Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong, Prof. Dr. Sivamurugan Pandian, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, Dr. Mohd Zaidi Ismail, Prof. Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri dan Prof. Madya Dr. Wan Marzuki Wan Jaafar juga turut terlibat.
Menurut Mohd. Shauki, kongres itu juga antara lain bertujuan membuka ruang percambahan pemikiran rentas agama, akademik dan kepakaran untuk menilai semula perjalanan, perpaduan serta membentuk mekanisme dalam menangani isu-isu perkauman dalam skrip baharu sesuai dengan situasi semasa.
Tambah beliau, tujuannya juga untuk memupuk amalan mulia rentas budaya dan primodial dengan kesefahaman yang lebih baik bersendikan ‘peraturan dan nilai’ yang boleh diterima secara sejagat dan membina dan menghidupkan ‘jambatan rundingan dan muafakat’ sebagai langkah yang tuntas serta berkesan.
“Tema kongres kali ini ialah Perpaduan Bangsa Asas Kesejahteraan Negara. Biarpun bunyinya cliche, harapan yang bakal diraih daripada penyertaan dan penganjuran kongres ini adalah setiap orang tahu, faham, dan bertindak melaksanakan keinginan bersatu padu, bukannya membesar-besarkan perbezaan.
“Kita tidak mahu rakyat negara ini sentiasa berada dalam situasi unity in tension atau ‘dedalu’ yang bertenggek di pokok, pokok mati kekeringan dan akhirnya dedalu juga mati setelah pokok itu tumbang.
“Mudah-mudahan, usaha Kongres Perpaduan Negara ini untuk merealisasikan matlamat memperkasa perpaduan dalam kalangan pemimpin dan rakyat dapat dilaksanakan dengan jaya,” katanya. – UTUSAN ONLINE