Kerja gila anak muda: Ketika media lain menjauhi fizikal, Junklist melihat peluang - Utusan Malaysia

Kerja gila anak muda: Ketika media lain menjauhi fizikal, Junklist melihat peluang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA dihubungi untuk menulis dalam Junklist Digest tahun lalu, saya terus setuju. Ketika itu, saya belum membayangkan betapa kerja menerbitkan majalah fizikal tentang muzik pada tahun
2021 ini satu kerja yang gila.

Junklist Digest bermula dengan sangat sederhana. Pengasasnya, AlKamil Kamarludin mengumpul beberapa penulis dalam kalangan kenalannya lalu masing-masing diberi segmen.

Dalam kumpulan itu, yang betul-betul pernah aktif menulis tidak ramai. Sebahagian besarnya mereka yang terlibat dalam lapangan muzik independen sebagai pemuzik, jurutera bunyi dan
penganjur acara.

Paling parah, dalam kumpulan itu tidak ada pun pereka grafik yang berpengalaman. Jadi, Kamil ambil keputusan mengambil dua hari cuti untuk meneroka penggunaan Adobe InDesign, menjadi pereka letak dan pereka grafik Junklist Digest lantikan sendiri.

Hari ini, majalah muzik itu sedang dalam proses penerbitannya untuk edisi ketiga.

FIZIKAL

“Macam batu bersurat,” kata Kamil. “Barang fizikal ni lebih kekal lama, kita boleh jaga”.Junklist memang sudah dikenali sebagai media independen. Antara yang termapan dalam lapangan
sekarang.

Namun, mereka selama ini beroperasi secara dalam talian.Bermula dengan media sosial, mereka berkembang dengan membangunkan portal.

Kamil pernah beritahu saya, tujuan dia membangunkan portal supaya artikel-artikel Junklist lebih mudah dicari dan diarkibkan. Kita sukar buat begitu jika hanya guna media sosial.

“Kalau dalam talian, ia senang hilang sebab setiap hari, orang hasilkan kandungan. Kita nak bersaing itu susah, semua orang ada akses.

“Majalah sekarang sudah jadi niche. Tak ramai orang buat. Itu pun boleh jadi kelebihan,” jelas Kamil.

KUASA KURASI

Edisi pertama Junklis Digest menampilkan No Good sebagai penghias muka hadapan. Edisi kedua pula The Fridays. Kedua-dua kugiran ini, menurut Kamil, mempunyai keistimewaan mereka yang tersendiri.

“Penting untuk yang diletakkan di muka hadapan itu, mereka yang memberi impak. Tidak semestinya popular. Mereka ada kelebihan sendiri yang patut dikorek pembaca,” kata Kamil.

Kurasi ialah perkara penting yang sering diambil ringan penggiat media Dari segi kewangan, kuantiti memang penting tetapi untuk mencapai prestij, media perlu bijak dalam kurasinya.

Jika dilihat pemilihan artis atau kugiran oleh Junklist Digest, terutamanya untuk muka hadapan dan segmen Borak Bual, mereka tidak mengutamakan populariti.

DOKUMENTASI

Sejak pertama kali membaca Projek Buku yang diusahakan Adly Syairi Ramly hampir lapan tahun lalu, saya sudah terkesima dengan idea mendokumentasikan muzik. Ia usaha yang tidak begitu diberi perhatian dalam industri muzik
Malaysia.

Saya bukan bercakap tentang dokumentasi ilmiah di kertas-kertas penyelidikan yang sarat jargon dan teknikaliti. Ia tentang merekodkan perjalanan dan pengalaman penghasilan muzik.

Ini antara perkara yang diperjuangkan Junklist Digest. Segmen Borak Bual khususnya, kisah-kisah di sebalik tabir penubuhan kugiran dan pembikinan album direkodkan secara bertulis.

Gaya bahasanya juga santai dan mentah dengan suntingan minimum supaya mood wawancara dapat dikekalkan.

Hal-hal teknikal dan bersifat pendidikan juga tidak ditinggalkan melalui perkongsian gear dan barisan tips buat pemuzik.

Hal wajib seperti ulasan juga ada, baik ulasan lagu/EP/album, acara mahupun kritikan terhadap lapangan.

Kamil juga memberitahu, mereka sedia menerima penulisan pembaca untuk dimuatkan dalam majalah tersebut. Anda boleh tulis apa saja. Nak kritik kugiran, acara dan sikap peminat/kugiran juga digalakkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN