PASIR PUTEH: Kerajaan Negeri Kelantan perlu tegas dan meneruskan perjuangan mendapatkan royalti petroleum dengan mengemukakan bukti yang relevan berhubung logistik dan kedudukan sebenar telaga minyak.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan, Datuk Kamarudin Md. Nor berkata, dalam hal berkaitan tuntutan royalti petroleum tersebut, pihaknya sentiasa berdiri di belakang Kerajaan Negeri Kelantan.
“Sebagai rakyat Kelantan, kita sewajarnya menyokong usaha mendapatkan royalti ini kerana ia boleh membolehkan kita melaksanakan projek pembangunan, meningkatkan ekonomi dan lain-lain kebajikan rakyat.
“Apapun bukti yang kukuh bersama tuntutan amat perlu. Kerajaan Persekutuan setakat ini pun sudah guna pakai hasil petroleum untuk disalurkan kepada Kelantan, walaupun istilahnya wang ihsan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Program Transformasi Sosio Ekonomi Hasil Tani Keluarga Malaysia anjuran Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), di sini hari ini.
Ketika memberi jawapan bertulis di persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini, Tengku Zafrul dilaporkan berkata, Petronas tidak akan membuat bayaran royalti tunai kepada mana-mana negeri di Semenanjung termasuk Kelantan, sebaliknya dibuat dalam bentuk wang ihsan.
Sebagai reaksi, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, Kerajaan Negeri Kelantan tetap berpendirian bayaran tunai adalah kaedah tepat berdasarkan peruntukan yang jelas dalam Perjanjian 1975 antara Petronas dengan kerajaan negeri.
Sementara itu, Sekretariat Bertindak Profesional Kelantan Tuntut Royalti atau dikenali sebagai Pro Royalti merancang menyaman Petronas bagi memperjuang bayaran royalti yang dianggap sebagai hak rakyat Kelantan.
Mengulas lanjut, Kamarudin berkata, ketika berjuang mendapatkan pengiktirafan royalti tersebut, kerajaan negeri disaran menerima dahulu apa sahaja bentuk pemberian Pusat sama ada wang ihsan atau sumbangan one-off.
Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Pengerusi KADA berkata, pada tahun ini pihaknya memperuntukkan sebanyak RM2 juta untuk diagihkan kepada 871 penerima yang terjejas Covid-19 melibatkan pekebun sayur, buah serta penternak. – UTUSAN