Kawanan gajah liar berkeliaran di Kampung Kuala Sat, Hulu Tembeling - Utusan Malaysia

Kawanan gajah liar berkeliaran di Kampung Kuala Sat, Hulu Tembeling

ABDUL JALIL Abd. Rahman (duduk) bersama dua penduduk merakamkan gambar ketulan najis gajah liar di sebatang jalan kampung berdekatan Kampung Kuala Sat di Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Penduduk dan pengguna jalan raya berdekatan Kampung Kuala Sat, Hulu Tembeling terserempak kawanan gajah liar mencari makanan di pinggir hutan berdekatan jalan raya di kampung berkenaan di sini semalam.

Kejadian itu menyaksikan sebanyak lima ekor gajah liar ditemukan leka mencari makanan di pinggir hutan berdekatan Kuala Sat dan gelagar itu sempat dirakamkan dari jarak jauh oleh penduduk berkenaan.

Kawanan gajah liar itu merayau-rayau mencari makanan berdekatan Kampung Samas dan Bukit Awam antara lokasi yang paling kerap menjadi tumpuan dan kawasan melintas sebagai laluan ke kampung pesisir Sungai Tembeling.

Kejadian itu berlanjutan sejak 20 tahun lalu berikutan habitat haiwan liar berkenaan sudah diteroka untuk kerja pembalakan dan pembangunan ladang komersial sawit di Hulu tembeling.

Senario berkenaan juga merisaukan pemandu kenderaan serta pengunjung yang berulang alik melalui jalan raya Kampung Tuit (Kuala Tahan) ke Mat Daling kerana gajah liar kerap melintas pada sebelah malam di kawasan Bukit Awam berdekatan Kampung Kuala Sat.  

Ahli Bird Group Taman Negara dan pencinta haiwan liar, Abdul Jalil Abd. Rahman berkata, petang semalam, penduduk menemukan lima ekor gajah yang mencari makanan di pinggir Kampung Samas di sini. 

“Saya dan beberapa orang rakan cuba menjejaki laluan haiwan liar ini, tetapi cuma menemukan ketulan najis yang ditinggalkan di sepanjang jalan hingga ke pinggir hutan simpanan berdekatan.

“Kebiasaanya gajah liar dalam kawanan antara lima hingga 10 ekor berkeliaran di kawasan Bukit Awan dan pernah ditemukan oleh penduduk kira-kira 30 ekor pada bulan lalu di pinggir hutan berdekatan kampung Kuala Sat,” katanya di Kampung Kuala Sat di sini hari ini.

Menurut Abdul Jalil, walaupun haiwan liar itu tidak pernah mengganggu manusia cuma merosakkan tanaman, tetapi dibimbangi boleh memberikan ancaman keselamatan khususnya pengguna jalan raya pada waktu malam.

Selanjutnya, dia meminta kerajaan menjadikan laluan gajah berdekatan Bukit Awam digazetkan sebagai koridor gajah atau laluan haiwan liar dengan membina pagar serta papan tanda keselamatan.

“Konflik gajah liar atau haiwan lain dengan manusia tidak boleh dielakkan atau dinafikan lagi apabila satwa berkenaan sudah ketiadaan habitat lalu memilih kawasan pinggir hutan dan kampung untuk mencari makanan.

“Saya juga mencadangkan kerajaan membina kawasan santuari gajah liar di Hulu Tembeling bagi tujuan pemuliharaan dan konservasi kerana haiwan ini semakin berkurangan selain berpotensi sebagai nilai tambah dalam sektor ekopelancongan,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN