Kanak-kanak maut, motosikal langgar penghadang besi - Utusan Malaysia

Kanak-kanak maut, motosikal langgar penghadang besi

MANGSA yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego dalam perjalanan dari arah Sungai Udang pulang ke rumah mereka di Bertam Ulu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Perjalanan seorang abang membawa adiknya ke kedai berakhir tragedi apabila kanak-kanak itu maut dalam kemalangan di Jalan Bertam Ulu di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, mangsa Muhammad Amir Qusyairi Khairul Bahiyuddin, 11, maut di tempat kejadian manakala abangnya, Khairul Amir Safwan, 15, parah dan dikejarkan ke Zon Merah Hospital Melaka.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintenden Hasan Basri Yahya berkata, kemalangan berlaku ketika si abang yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego dalam perjalanan dari arah Sungai Udang pulang ke rumah mereka di Bertam Ulu.

“Setiba di lokasi, motosikal ditunggangi tiba-tiba hilang kawalan dan mereka terbabas ke arah kanan melanggar penghadang besi di tepi jalan.

“Akibat rempuhan itu, pembonceng yang merupakan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut di tempat kejadian, manakala abangnya parah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Difahamkan dua beradik itu dalam perjalanan pulang ke rumah di Rumah Awam Bertam Hulu selepas keluar ke kedai.

Mengulas lanjut kecederaan remaja tersebut, beliau berkata, mangsa mengalami patah paha kanan dan luka di pelbagai anggota badan.

“Pemeriksaan lanjut pada kenderaan mendapati motosikal tersebut didaftarkan atas nama bapa saudara mangsa.

“Mayat kanak-kanak itu telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan siasatan diteruskan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN