JEMPOL: Seorang jururawat berputih mata selepas kerugian sebanyak RM6,000 apabila terjerat dengan sindiket Macau Scam.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden, Hoo Chang Hook berkata, pada 2 Disember lalu, mangsa seorang wanita berusia awal 20-an telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri dengan nama R. Ravi daripada ibu pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Cyberjaya.

“Mangsa dimaklumkan oleh lelaki itu yang dia mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM 58,500.82 dan panggilan tersebut adalah notis terakhir serta mangsa perlu menjelaskan bayaran tersebut sebelum pukul 4 petang.
“Mangsa telah menjelaskan bahawa dia tidak mempunyai sebarang hutang atau tunggakan cukai, namun pemanggil telah memaklumkan kepada mangsa bahawa nombor Mykad mangsa telah didaftarkan atas nama sebuah syarikat di Kota Bahru, Kelantan pada 25 Ogos lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pemanggil turut bertanyakan akaun bank yang digunakan mangsa serta meminta nama pengguna (username) dan kata laluan akaun bank tersebut. Mangsa telah menyerahkan akses perbankkan tersebut kepada pemanggil.
“Mangsa berasa ditipu setelah pemanggil tersebut memintanya username dan kata laluan akaun mangsa. Semakan mendapati wang di dalam akaun mnilik mangsa telah berkurangan sebanyak RM6,000.
“Mangsa segera membuat laporan di Balai Polis Bandar Sri Jempol semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.-UTUSAN ONLINE










