PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyasarkan untuk mengutip RM3.5 bilion kepada hasil negara tahun depan menerusi pelbagai rangkaian perkhidmatannya.
Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, sasaran itu berasas memandangkan jabatan pernah mencapai kutipan kira-kira RM4.57 bilion pada 2019.
Beliau berkata, jumlah kutipan hasil tahun lalu berkurang kepada RM2.42 bilion pada tahun 2020 selain hanya RM2.15 bilion berjaya dikutip setakat 15 November lalu.
“Jumlah sasaran kutipan RM3.5 bilion itu bukanlah satu angan-angan berdasarkan trend kutipan yang diperoleh sebelum pandemik.
“Penyumbang terbesar kepada kutipan hasil ini datangnya daripada levi pekerja asing, bayaran-bayaran proses, kutipan kompaun dan pembaharuan pasport Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Imigresen 2021, di sini hari ini.
Katanya, sasaran RM3.5 bilion ditetapkan itu bukanlah petunjuk prestasi utama (KPI) dalam perancangan strategik kementerian, sebaliknya oleh beliau sendiri selepas berunding dengan pegawai kanan lain.
Khairul berkata, beliau yakin sasaran kutipan ini dapat dicapai dengan usaha menyeluruh dan komitmen padu daripada semua peringkat pegawai dalam JIM.
Selain itu, katanya, pihaknya juga berjaya membuat penjimatan sebanyak RM2.4 juta melalui penamatan perkhidmatan kontrak Cash in Transit oleh syarikat kawalan keselamatan bagi tempoh 2020 hingga tahun ini. – UTUSAN










