Jelajah semenanjung tunggang Honda C70 - Utusan Malaysia

Jelajah semenanjung tunggang Honda C70

ABDUL Halim Mat melakukan jelajah solo di semenanjung Malaysia dengan menunggang motosikal kapcai jenis Honda C70.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sebagai salah satu usaha mengharumkan nama negeri, Abdul Halim Mat, 49, melakukan jelajah solo di seluruh Semenanjung dengan menaiki motosikal kapcai jenis Honda C70.

Abdul Halim berlepas di Dataran Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam dan dijangka mengambil masa 14 hari menyelesaikan jelajah tersebut dengan motosikal kesayangannya keluaran 1972 yang sudah berusia hampir 50 tahun itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bapa kepada dua orang anak itu berkata, dia menggunakan laluan lama untuk ke negeri-negeri sepanjang jelajah seluruh Semenanjung tersebut.

Katanya, jelajah tersebut bermula ke Kedah disusuli Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor sebelum berpatah balik ke Negeri Sembilan, Melaka, Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Pulau Pinang dan pulang ke Perlis.

“Sasaran saya dapat menyelesaikan jelajah dalam tempoh 14 hari, bagaimanapun bergantung kepada kemampuan diri. Sepanjang perjalanan tersebut, saya hanya singgah berehat dan tidur di masjid-masjid atau khemah-khemah.

“Saya mengambil inisiatif melakukan jelajah solo ini hanya dengan niat untuk mengharumkan nama Perlis. Sebagai rakyat, cara ini sahaja yang saya mampu lakukan untuk mengharumkan nama negeri tercinta ini,” katanya.

Tambah Abdul Halim dari Kampung Tersusun, Padang Besar Utara, jelajah tersebut adalah yang kedua selepas dia pernah melakukan ekspedisi secara solo merentasi hampir semua 76 wilayah di Thailand dengan jarak perjalanan hampir 4,000 kilometer pada tahun 2019.

Katanya, meskipun sedar berdepan cabaran namun menjadi satu kepuasan kepada dirinya apabila melakukan jelajah berkenaan.

“Saya menggunakan motosikal Honda C70 itu tanpa ada ubah suai. Motosikal ini saya beli sejak dari 1972 dan sehingga hari ini terus bertahan serta masih kuat,” katanya

Terdahulu, jelalah Abdul Halim dilepaskan Setiausaha Kerajaan Negeri, Azman Mohd. Yusof di dataran Kompleks DUN di sini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN