Dua penunggang basikal warga Bangladesh maut dilanggar

Dua penunggang basikal warga Bangladesh maut dilanggar

LOKASI kejadian dua penunggang basikal warganegara Bangladesh yang maut dipercayai dilanggar sebuah kenderaan di Parit Salam, Parit Yusof, Muar, Johor malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Dua penunggang basikal warganegara Bangladesh maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan di Parit Salam, Parit Yusof, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihak polis menerima laporan mengenai kejadian kira-kira pukul 8.45 malam melibatkan tiga penunggang basikal warganegara Bangladesh dan sebuah kenderaan yang tidak dapat dikenal pasti.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa tiga lelaki Bangladesh yang masing-masing berusia 21 tahun menunggang basikal dalam perjalanan dari Parit Yusof menuju ke Bukit Mor dalam keadaan menyongsang arus.

“Apabila sampai di tempat kejadian, ketiga-tiga penunggang basikal tersebut dilanggar sebuah kenderaan dengan nombor pendaftaran dan jenis yang tidak pasti bergerak terus di laluan Parit Yusof menghala Bukit Mor.

“Akibat pelanggaran tersebut, ketiga-tiga mangsa tercampak ke bahu kiri jalan dan dua daripada mereka mengalami kecederaan di kepala dan badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Raiz Muhkliz, seorang lagi warga Bangladesh meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang daripada dua mangsa yang cedera itu meninggal dunia semasa mendapat rawatan di Zon Merah Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar.

Beliau berkata, pihak polis dalam usaha mengesan pemandu kenderaan berkenaan yang terlibat dalam kemalangan tersebut bagi membantu siasatan.

Tambah beliau, kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum RM50,000.

Pihak polis memohon saksi yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu supaya berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Khairun Izham Noor Yusry  013-9121508 atau tampil ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar untuk membantu siasatan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN