KUALA LUMPUR: Kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan UMNO memungkiri piagam Muafakat Nasional (MN) adalah tersasar.
Perkara itu dinyatakan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dengan berkata, matlamat penubuhan MN tidak menyebut Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu menjadi sebahagian daripadanya.
“Malah, salah satu sebab MN itu dibidani kelahirannya ialah untuk menentang Pakatan Harapan (PH). Bersatu adalah komponen PH waktu itu.
“Justeru untuk memaksa UMNO menerima Bersatu adalah bercanggahan dengan semangat sebenar MN itu diasaskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Abdul Hadi berkata, perjanjian ketika MN ditubuhkan membenarkan gabungan itu boleh menerima parti-parti lain termasuk Bersatu.
Namun, apabila sampai peringkat pelaksanaan, terdapat dalam kalangan pimpinan UMNO yang mahu Pas dengan UMNO sahaja.
“Itu sudah lari daripada perjanjian. Kita berpegang pada perjanjian. Dia tak boleh menyalahkan Pas, nak suruh Pas dengan UMNO sahaja tak boleh, sebab kita dah berjanji dengan parti-parti lain,” jelas Abdul Hadi.
Mengulas lanjut, Mohamad dalam masa yang sama turut mengingatkan kepada Pas supaya tidak meninggalkan MN hanya kerana UMNO tidak mahu menerima Bersatu.
“Jadi janganlah dek kerana UMNO tidak mahu menerima Bersatu, MN itu Pas tinggalkan. Kepentingan orang Melayu dan Islam itu jauh lebih besar dari kepentingan Bersatu menyertai MN. Jadi, janganlah kita melakukan sesuatu yang akhirnya akan menjauhkan lagi orang Melayu daripada MN.
“Semoga Presiden Pas akan terus bersama UMNO dalam meneroka pelbagai dimensi baru dalam membangunkan keberdayaan bangsa Melayu, insya-Allah,” katanya.