Isu syarat pengikut lebih sejuta, Hj Zil pertahankan prinsip - Utusan Malaysia

Isu syarat pengikut lebih sejuta, Hj Zil pertahankan prinsip

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penerbit popular, Fadzil Teh atau lebih dikenali sebagai Hj Zil, tidak menolak bahawa sehingga kini masih ramai kalangan penggiat seni khususnya golongan pelakon yang tidak bersetuju dengan syarat pengikut lebih satu juta diaplikasikan.

Menurut Hj Zil, hal itu lazimnya berlaku apabila stesen televisyen mengeluarkan senarai belanja dan ia meliputi aspek pemilihan barisan lakonan dalam sebut harga.

Bagaimanapun, baginya hal ini sedikit menghampakan kerana pihak penerbit sepertinya seringkali menerima tempias amarah ramai dan didakwa antara punca pemilihan seperti itu dibuat.

“Kita pun tidak terkecuali daripada dihentam oleh beberapa pelakon, namun terpaksa akur dengan kehendak stesen TV memandangkan merekalah yang mengeluarkan belanja.

“Pihak kami menghasilkan drama untuk stesen TV dan platform penstriman dan itu memang menjadi syarat yang diletakkan oleh mereka. Saya bagi contoh, kalau nak berkahwin, ada syarat-syaratnya. Jadi, sama juga seperti urusan ini.

“Pihak stesen TV meletakkan syarat untuk mengambil pelakon dengan jumlah pengikut melebihi sejuta di media sosial. Kami sebagai penerbit perlu akur kerana mereka (stesen TV) yang keluarkan duit,” katanya.

Hj Zil berkata demikian semasa diminta mengulas mengenai isu syarat pengikut lebih satu juta yang kembali menjadi bualan dan bahan hangat di kalangan penggiat seni di media sosial.

Selain itu, menurutnya, sebagai penerbit, dia melihat golongan artis terdiri daripada dua kategori.

“Kategori pertama adalah, artis-artis popular dan satu lagi kategori adalah, artis-artis yang suka menghentam orang. Kelompok kedua ini yang kebanyakannya tak mahu ‘mesra’ di media sosial.

“Saya gelarkan mereka yang suka menghentam ini sebagai artis berhaluan kiri yang hanya ingin menjual bakat semata-mata, tapi tak mahu menitikberatkan beberapa aspek lain contohnya penampilan dan interaksi di media sosial,” katanya.

Dalam pada itu, antara artis yang pernah menyuarakan perkara ini di media sosial ialah pelakon dan pengacara, Nabila Huda.

“Kalau beginilah, kita pula akan bagi syarat, bayaran yang dibayar harus kena ikut pengiraan kepada jumlah pengikut. Lebih sejuta pengikut, maknanya, kau kena bayar ikut jumlah yang sepatutnya.

“Apa pun, kerja lebih ada caj tersembunyi. Mampu tak nak bayar?” tulisnya dalam satu ciapan di Twitter baru-baru ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya